June 13, 2024

SHAH ALAM – Peminat tegar industri muzik tanah air tentunya masih mengingati akan album kompilasi Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004. Album terbitan komposer LY ini menggabungkan enam orang penyanyi rock popular Malaysia iaitu Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Rahim Maarof, Muss dan Joey BPR. 

Sambutan hebat peminat menyaksikan projek ini diteruskan dengan album Semangat Zaman 2 pada 2005 yang menyaksikan gabungan artis yang sama hebat. Sempena Ulang Tahun Ke-20 album ini, Konsert Semangat Zaman – 20th Anniversary akan berlangsung pada 29 September 2023 di Zepp, Kuala Lumpur. 

Konsert itu akan menampilkan Datuk Nash (Lefthanded), Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Yantzen (Rusty Blade), Rahmad (Mega), Jatt (Black Dog Bone), Muss dan artis ahli baharu, Bandi (Amuk). Manakala Rahim Maarof (White Steel), artis pertama yang bersetuju untuk turut serta tidak dapat bersama kerana masalah kesihatan. 

Mengimbas kembali, konsep Projek Semangat Zaman telah diilhamkan pada 2004 oleh inovator industri muzik, Cik Jean Lau dan komposer terkenal, L.Y. Ideanya adalah untuk menyemarakkan semula industri muzik dengan kumpulan Artis dan Pemuzik Rock terbaik membuat persembahan bersama dalam satu album di kala kumpulan Indie sedang menguasai pasaran muzik semasa. 

Album sulung ini berjaya mencapai jualan Multi Platinum (melebihi 100,000 keping jualan). Pada 2005, susulan kepada kejayaan “Semangat Zaman”, “Semangat Zaman II – Suara Zaman’ diterbitkan menampilkan alumni “Semangat Zaman” sebelumnya. Artis yang menjadi ahli baharu dalam projek kedua itu adalah Rahmad (Mega), Shamrin (Fotograf) dan Jatt (Black Dog Bone). Album ini mencapai kejayaan yang sama dan diperakui multi-Platinum. 

Selepas berehat selama 20 tahun, Jean Lau berkata, “Saya merindui keseronokan dan pengalaman kedua-dua album terdahulu, serta bekerja dengan kumpulan artis berbakat ini. 

“Saya menelefon L.Y. dan melontarkan idea untuk mengadakan konsert ulang tahun ke-20. LY bersetuju dan kami mula mengumpulkan pasukan”. 

Persediaan konsert ini, diperkuatkan lagi dengan rakaman 5 lagu baharu untuk persembahan itu – lagu tema dengan semua artis, serta duet untuk Muss dan Rahmad; Joey dan Bandi; Yantzen dan Jatt dan lagu solo oleh Nash. 

Konsert 2023 itu akan menampilkan alumni Semangat Zaman dan ahli baru Bandi Amuk. 

“Aris dibarisi lagu bersama Rahim Maarof, tetapi ia ditangguhkan kerana Rahim sakit baru-baru ini. Rahim dalam semua doa kita agar cepat sembuh,” katanya. 

Jean Lau menambah, “Gaya dan kehadiran Bandi akan memberikan wajah dan rasa baharu kepada Semangat Zaman. 

“Konsert itu akan menjadi konsert pertama ikon-ikon muzik rock Malaysia berada di atas satu pentas membuat persembahan bersama. 

“la adalah 8 legenda rock di atas satu pentas dalam satu malam, dan pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat dan pencinta muzik rock mereka.

“Pada malam konsert kita akan menjemput keluarga Arwah Shamrin dan keluarga Rahim Maarof bersama-sama,” katanya. 

Semangat Zaman Music Entertainment sangat berbangga dan berterima kasih atas kesudian YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup bagi melancarkan sidang media yang diadakan pada 4 Julai lalu bertempat di Kota Permai Golf & Country Resort, Kota Kemuning, Shah Alam.

Tiket untuk pertunjukan itu kini boleh didapati di my.bookmyshow.com atau hubungi terus di talian 03 – 9212 4202. Tiket-tiket berharga RM 208 (Zon Rock), RM 328 (Kerusi Normal – Bernombor) dan RM 388 (Premium – Tempat Duduk Bernombor). Pengunjung konsert boleh menikmati harga istimewa early bird RM198 untuk Zon Rock (sah sehingga 15 Julai 2023). 

Sebagai kesimpulan, Jean berkata, “Adakah kita akan melihat ini lagi? Jangan lepas peluang. Dapatkan tiket anda sekarang!”