KUALA LUMPUR, 21 DISEMBER 2021 – Kesemua artis Hijrahkan Laguku (HL) menarik nafas lega malam kelmarin apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri mengumumkan keenam-enam bintang layak ke minggu suku akhir pada 25 Disember ini.

Walau dalam keadaan negara diuji dengan banjir kilat di beberapa daerah utama di Selangor semalam, persembahan minggu kelima HL berlangsung penuh tertib apabila Ustaz Mohamad Zarifi Hj. Mohamad Daud yang bertindak sebagai mentor membacakan doa memohon kesejahteraan dan keselamatan dari musibah banjir.

Namun, penonton di studio dan di rumah tidak dapat menahan gelisah apabila buat pertama kalinya Shahir Zawawi dipanggil ke pentas penyingkiran kerana memperoleh markah rendah. Selain Shahir, PG Adam turut berada di kedudukan terbawah.

Shahir yang ditemui sejurus tamat HL berkata episod kelima sedikit mencabar kerana dia mempersembahkan lagu Saat Pemergianmu, lagu asal Dir nyanyian Rahim Maarof yang telah diubah liriknya.

“Saya sudah bersedia. Andai tersingkir, ini adalah adat pertandingan. Bukan di dalam pertandingan HL sahaja, tetapi inilah kata-kata semangat yang saya sematkan di setiap pertandingan yang saya sertai.

Saya cuma berharap agar kemunculan saya semula di dalam rancangan HL setelah menyepi beberapa ketika menjadi buah tangan yang memanfaatkan penonton.

“Saya pasti, ramai peminat dan pendengar di luar sana yang dahagakan lagu-lagu ketuhanan yang mendekatkan kita kepada Allah dan RasulNya. Saya pohon agar semua pihak memberi sokongan kepada rancangan HL.

Menerusi persembahan episod kelima bertemakan Laguku Lagumu Jua yang berlangsung di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Dato’ Nash yang menyanyikan lagu Firman Siagian berjudul Kehilangan mendapat markah tertinggi iaitu 86 markah. Persembahan Dato’ Nash tambah menarik dengan penampilan aktor Saharul Ridzwan yang membacakan petikan hadith Rasulullah.

Dato’ Nash menampilkan aktor Saharul Ridzwan dalam persembahannya

Iwan Shahman pula berada di tempat kedua dengan 76 markah setelah menyanyikan lagu Rahmat Ekamatra bertajuk Siapa Di hatimu yang diubah lirik menjadi lagu Allah Di Hatiku

Tempat ketiga dengan 72 markah dimiliki oleh Zaf V.E. yang menyanyikan lagu Bila Rindu, lagu asal Rod Stewart berjudul When I Need You. Percaturan berani Zaf V.E. serta sifat konsisten beliau dalam menzahirkan karya kecintaan terhadap Nabi Muhammad pada setiap episod persembahan membuatkannya dinobat sebagai penerima Anugerah Mahabbah. Hadiah kemenangan adalah wang bernilai tiga ribu ringgit yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan.

Sementara itu, persembahan kesemua bintang diadili oleh juri tetap Fauzi Marzuki. Ustaz Isman Hijjaz pula menggantikan Hazamin Inteam yang sedang mengerjakan umrah. Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Farid Ravi pula hadir sebagai pendakwah jemputan.

TV AlHijrah masih lagi tidak membuat sebarang pengumuman tentang hadiah yang bakal dimenangi oleh pemenang rancangan ini.

Untuk rekod, Hijrahkan Laguku bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam. Rancangan ini mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Hotel Premiera Kuala Lumpur pula adalah penaja penginapan rasmi HL.

Siaran ulangan HL boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Untuk episod suku akhir minggu hadapan yang bertemakan Ana Pilih, Enta Nyanyi, senarai lagu telah diberikan kepada bintang yang bertanding. PG Adam akan menyampaikan lagu Untuk Selamanya penyanyi asal Kumpulan Visa, Iwan Shahman dengan lagu nyanyian beliau sendiri berjudul Siapa Benar Siapa Salah, Mark Adam menyanyikan lagu berjudul Anak nyanyian asal Freddie Aguilar, Zaf V.E dengan lagu berjudul Cinta Luar Biasa nyanyian asal Andmesh Kamaleng, Dato’ Nash dengan lagu asal nyanyian kumpulan Illusi berjudul Puisi Cinta dan Shahir Zawawi pula akan menyanyikan lagu Salam Terakhir nyanyian asal Sudirman Arshad.

78 thoughts on “Semua bintang Hijrahkan Laguku di episod 5 layak ke suku akhir”

Leave a Reply

Your email address will not be published.