March 28, 2024

KUALA LUMPUR, 9 JANUARI 2022 – Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti, Hijrahkan Laguku Musim Pertama yang bersiaran secara langsung dari studio TV Alhijrah malam tadi.

Bertemakan Langit Tanpa Tiang, kemenangan Shahir yang menghijrahkan lagu Madah Berhelah nyanyian asal Ziana Zain kepada tajuk Madahku secara solo dan Perjalanan Jiwa yang didendangkan secara duet bersama Datuk Nash, membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama RM100,000.

Sementara itu, tiga bintang Hijrahkan Laguku yang turut bersama dalam pentas akhir adalah Datuk Nash, Mark Adam dan Iwan Syahman, merangkul naib johan dengan masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM20,000.

Datuk Nashrudin Elias atau Nash telah menghijrahkan lagu Kenangan Bersamamu nyanyian asal kumpulan Lefthanded kepada tajuk Saat Kau Pergi berterima kasih kepada TV Alhijrah kerana memberi ruang kepada beliau untuk berdakwah menerusi seni hiburan.

“TV Alhijrah telah memberi ruang dalam sudut seni yang begitu baik dan selama saya berada dalam program ini, tanpa gagal saya dapat mengikuti usrah bersama para ustaz dan solat berjemaah bersama. Selama 40 tahun saya dalam industri, ini adalah pertama kali saya mendapat nikmat seperti ini.” Katanya.

Iwan Syahman atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus yang suatu ketika dahulu terkenal dengan irama dangdut, menerima Anugerah Sawa’ Assabil dengan ganjaran wang tunai RM3,000 yang bakal diwakafkan kepada badan kebajikan. Iwan yang menghijrahkan lagu Memori Daun Pisang kepada judul Memori Di Jalan Allah bersyukur kerana dapat memperkenalkan lagu-lagu popularnya kepada peminat-peminat dengan lirik-lirik yang mengagungkan kepada Allah SWT.

“Ini adalah kesempatan saya memperkenalkan lagu-lagu saya kepada peminat-peminat kerana setelah lebih 10 tahun saya berhijrah saya mempunyai tujuh buah album berkonsepkan nasyid. Kebanyakan lagu-lagu lama yang diubah liriknya daripada menyintai mahluk kepada menyintai Allah dan Rasulullah.” Katanya.

Bagi Fikri Mark Adam Abdullah atau Mark Adam, beliau banyak belajar dari program Hijrahkan Laguku ini dan banyak kebaikan yang beliau dapat sewaktu menyertai program ini.

“Saya banyak belajar antaranya kekeluargaan, silaturrahim, mengenal Allah, cabaran dan penghijrahan. Boleh dikatakan saya banyak berubah dari segi kebaikan di mana saya dapat belajar bersama ustaz dalam Usrah yang diadakan setiap minggu dan inilah program realiti yang paling istimewa bagi saya.” Kata mark Adam.

Mark Adam menyanyikan lagu Sampai Tutup Usia nyanyian asal Angga Candra secara solo dan lagu Syurga Menanti yang mana lagu asalnya berjudul Istana Menanti nyanyian Rahim Maarof dinyanyikan secara duet bersama Iwan Syahman.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad dengan diiringi Ustaz Haji Nasrudin Hassan, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Hijrahkan Laguku diadili komposer Fauzi Marzuki selaku ketua juri dan dibantu Hazamin daripada kumpulan Inteam. Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pula bertindak sebagai juri dan pendakwah jemputan.

Dikendalikan Faizal Ismail dan Bell Ngasri, program berkonsep dakwah menerusi lagu ini menggunakan format markah 80 peratus juri profesional dan 20 peratus pilihan penonton.

Program malam tadi telah dibuka dengan persembahan istimewa Zamani, Cat Farish dan Mawi dengan menyampaikan lagu Tak mungkin Berpaling nyanyian asal Kumpulan Slam.

Sebelum itu, PG Adam, Zaf VE, Zack Kool dan Rahmad Mega peserta yang pernah bertanding sepanjang program Hijrahkan Laguku turut hadir untuk memberi sokongan.

Persembahan solo Shahir
Persembahan solo Datuk Nash
Persembahan solo Iwan Syahman
Persembahan solo Mark Adam
Persembahan duet Shahir bersama Datuk nash
Persembahan duet Iwan Syahman bersama Mark Adam
Persembahan pembukaan oleh Mawi, Zamani dan Cat Farish
program dikendalikan oleh pengacara Faizal Ismail dan Bell Ngasri
Juri terdiri dari Ustaz Don, Hazamin dan komposer Fauzi Marzuki
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad (tengah) bersama Ustaz Haji Nasrudin (kiri) dan Namanzee Harris (kanan)
Iwan Syahman, Shahir, Datuk Nash dan Mark Adam telah berjaya ke pentas akhir Hijrahkan Laguku

Foto: Subky Hj Bebit

173 thoughts on “Shahir Zawawi juara Hijrahkan Laguku, bawa pulang RM100 ribu

Comments are closed.