April 19, 2024

PETALING JAYA : Nama penyanyi dan rapper Siqma sudah meniti di bibir peminat lantaran rap yang disampaikan memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi. Sekaligus menjadikan Siqma berbeza daripada kebanyakan rapper seangkatan dengannya.

Malah, populariti diraih Siqma, 27, atau nama sebenarnya Rahmat Zulhilmi Abdul Razak menerusi lagu-lagu ciptaannya sendiri yang dikongsi di YouTube sejak 2017 sudah cukup membuktikan dia memiliki kelompok peminat tersendiri.

Pernah melancarkan beberapa single antaranya Salam 1001, Cemas, Raja Simurgh dan Dipinggirkan, Siqma kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Bintang berkolaborasi bersama penyanyi Afif Tirmizie.

Siqma juga pencipta lagu Bintang bersama Kmy Kmo yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia berkata, lagu itu lebih kepada cinta, memori dan duka seseorang.

“Pada mulanya idea asal lagu Bintang ini mengisahkan mengenai pandangan kehidupan saya sebagai seorang anak kepada keluarga tetapi pada saat akhir proses penulisan lagu ini saya fikir saya perlu ubah sudut pandangan saya ke arah lebih luas dan jadikan lagu ini lebih universal.

“Maka, saya memilih tema lebih kepada cinta, memori dan duka seseorang kepada apa sahaja yang pernah dialami dalam kehidupannya untuk dijadikan kekuatan mahupun pengajaran untuk terus kuat menghadapinya. Saya cuba menjadikan lagu ini sambungan kepada lagu Dipinggirkan yang diterbitkan oleh Malique Ibrahim sebelum ini,” katanya.

Menurut Siqma, proses penulisan untuk bahagian korus dan ‘bridge’ lagu Bintang agak mudah.

“Alhamdulillah, proses penulisan lagu ini berjalan lancar dan mudah dengan dibantu oleh Kmy Kmo. Cuma di bahagian verse sedikit sukar dan mengambil masa untuk saya pilih, gabungkan dan selarasakan dengan korus dan ‘bridge’ yang sudah kami buat,” katanya.

Jika sebelum ini Siqma sering berkolaborasi bersama rakan rapper lain, menerusi lagu Bintang dia memilih penyanyi lain iaitu Afif yang juga guru vokal.

Malah, bagi Siqma pemilihan Afif tepat selain banyak membantu dalam memudahkan lagi proses rakaman vokal dan video muzik.

“Saya pilih Afif kerana sememangnya dia mempunyai suara yang sedap, sesuai dengan lagu ini dan dia seorang yang profesional. Jadi senang untuk kami bekerjasama.

“Alhamdulillah, ketika proses rakaman lagu semuanya berjalan dengan sempurna. Proses rakaman suara disempurnakan di JK Music Vibe oleh Johan Samsudin, dan Mixing Master disempurnakan oleh Felix Voon.

“Begitu juga ketika rakaman video muzik. Penggambaran dijalankan di tiga lokasi dan mengambil masa satu hari tetapi segala proses rakaman sangat mudah dengan kerjasama dan tenaga yang diberikan oleh pasukan produksi, artis dan bakat lain yang membuatkan saya berasa seronok sehingga tak terasa sedikit letih pun,” katanya.

Siqma kini muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Bintang berkolaborasi bersama penyanyi Afif Tirmizie

Sama seperti lagu yang pernah dilancarkan sebelum ini, Siqma berharap Bintang dapat diterima baik pencinta muzik tanah air biarpun di sebalik penghasilan lagu ini dia berdepan cabaran.

“Cabaran yang amat saya rasakan adalah ketika penulisan verse. Ini kerana setiap yang ingin dituliskan perlu saya rasa dan ingat kembali setiap saat yang pernah saya hadapi. Itu membuatkan saya rasa sedikit berat pada awalnya untuk menyambung penulisan verse Bintang. Malah ada juga saya hampir terfikir untuk mengubah lagu ini, tetapi Alhamdullillah semuanya selesai.

“Jadi, untuk lagu Bintang ini, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi seperti mana ada saya katakan dalam lagu ini ‘sudah ciptakan harapan dibalas radiasi’ yang mana kadang kala harapan yang tinggi boleh menjatuhkan kita semula dengan kekecewaan. Pendek kata, lagu ini tiada sebarang harapan hanya sekadar lagu yang ingin saya kongsikan kepada pendengar,” katanya.

Sementara itu, Afif yang pertama kali bekerjasama dengan Siqma memuji kolaborasi mereka yang disifatkan sesuatu yang profesional.

“Alhamdulillah, ini satu kolaborasi yang sangat baik dari awal perbincangan sehingga selesai segala urusan. Bekerjasama bersama Siqma, dia seorang yang professional, sungguh santai dan ‘flexible’ dalam segala perbincangan,” katanya.

Berbeza dengan Siqma, Afif mengakui cabaran ketika merakamkan lagu ini disebabkan masalah teknikal. 

“Antara cabarannya ialah semasa sesi rakaman vokal yang dilaksanakan sebanyak dua kali atas sebab teknikal yang tak dapat dielakkan. Semoga lagu Bintang ini mendapat tempat di hati pendengar, dimainkan di merata platform dan menjadi siulan sentiasa,” katanya.

Lagu Bintang sudah dilancarkan di semua platform penstriman muzik sejak 10 Jun lalu dan video muzik rasmi Bintang bakal dilancar dan ditayangkan semalam di saluran YouTube Siqma.

Siqma – Bintang ft. Afif Tirmizie