July 14, 2024

KUALA LUMPUR – Menghargai keberadaan orang lain adalah hal yang sederhana tapi amat bermakna. Hargai setiap insan yang kita sayang selagi mereka masih bernyawa.

Begitulah mesej utama yang cuba dibawakan Fahimi Rahmat dan Athalia dalam single duet terbaharu mereka berjudul Sungguh Kamu Aku Rindu (SKAR).

Kolaborasi kali pertama dua anak muda ini adalah hasil kerjasama dua label muzik terkenal, Universal Music dan Faithful Music.

Fahimi dan Athalia

Menariknya mengenai lagu SKAR yang dilancarkan sejak 3 Mac lalu ini, adalah hasil ciptaan sepenuhnya Fahimi Rahmat dengan kerjasama komposer Mike Chan.

Kata Fahimi, SKAR sudah dihasilkan sejak dua tahun lalu selepas melalui satu peristiwa yang masih berbekas dalam hidupnya.

“Lagu SKAR ini memberi peringatan kepada kita untuk sentiasa menghargai orang yang kita rapat sebab kita tak tahu bila dia akan pergi dalam hidup kita. Jadi hargailah setiap insan yang berada disekeliling.

“Sebenarnya lagu ini sudah dihasilkan dua tahun lalu tapi saya simpan sekejap kerana menunggu waktu yang terbaik untuk dilancarkan. Alhamdulillah tahun ini adalah waktu terbaik.

“Jujurnya saya tulis lagu ini disebabkan satu peristiawa yang cukup memberi kesan mendalam dalam hidup saya ketika itu. Bermula dari situ, saya ‘bangunkan’ lagu ini mengikut kisah yang saya lalui,” katanya.

Menurut Fahimi, proses rakaman SKAR tidak mengambil waktu yang lama untuk disiapkan memandangkan Athalia adalah figura yang tepat.

“Kami hanya melalui dua sesi rakaman saja.  Malah proses rakaman pun berlangsung dengan lancar dan menyeronokkan.

“Cuma ketika rakaman kami berdua perlu memberi sepenuh penghayatan terhadap lagu ini supaya masing-masing dapat membawa karakter lagu ini. Ia adalah satu pengalaman baru buat saya.

“Selama berada dalam industri seni, saya tak pernah berduet dengan mana-mana penyanyi, tapi kali ini saya mencari kelainan.

“Lagu ini adalah single duet pertama saya. Pada peringkat permulaan memang ada beberapa nama penyanyi yang disenarai pendek untuk duet bersama saya, tapi akhirnya kami memilih Athalia.

“Ini kerana sewaktu mendengar kemerduan suara Athalia, saya dapat rasakan lagu SKAR ini amat sesuai dengannya. Malah ketika rakaman dilakukan pun kami dapat mendengar keikhlasannya menyampaikan lagu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Athalia menyifatkan kerjasama dengan Fahimi menerusi lagu SKAR adalah satu pengalaman berharga yang cukup manis.

Kata Athalia, ketika proses rakaman muzik video lagu itu, masing-masing cuba menterjemahkan maksud lagu yang disampaikan mengikut pemahaman sendiri.

“Lagu ini dekat dengan kehidupan setiap orang yang pernah melalui cerita indah atau segala memori bersama pasangan atau insan tersayang. 

SKAR ini memberi pengertian yang cukup mendalam lebih-lebih lagi rasa rindu terhadap seseorang yang sudah tiada. 

“Jujurnya kerjasama ini adalah satu pengalaman yang hebat buat diri saya sebab kami ada pandangan makna yang tersendiri untuk lagu ini.

“Malah dalam muzik video pun ada banyak babak yang dekat dengan hidup kita. Misalnya kita bahagia bersama pasangan, kemudian pernah melalui fasa bergaduh atau berpisah sehingga akhirnya dia lenyap dalam hidup kita buat selamanya,” katanya.

SKAR (Sungguh Kamu Aku Rindu)

Tambah Athalia, Fahimi adalah penyanyi yang komited dengan setiap hasil kerja seninya.

“Dia adalah seorang penyanyi yang komited terhadap setiap karya yang dihasilkan. Malah dia sentiasa terbuka kalau saya ada pandangan atau penambahbaikan untuk lagu ini.

“Apapun saya berharap lagu ini dapat diterima dengan baik kerana SKAR dekat dengan kehidupan yang kita lalui setiap hari,” katanya.

SKAR sudah dilancarkan di kesemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music termasuk muzik video di YouTube rasmi Faithful sejak 3 Mac lalu.