KUALA LUMPUR : Kedatangan Ramadan bulan penuh barakah kali ini tidak dibiarkan tergantung sepi oleh artis ternama tanahair Sufian Suhaimi apabila menerima tawaran berkolaborasi dengan artis nasyid terkenal Inteam dalam single terbaru mereka berjudul Damba Kasih 2022.

Dalam single terbaru yang merupakan ‘remake’ daripada lagu asal Inteam yang pernah diterbitkan pada tahun 2003 ini, Sufian dan Inteam ingin mengajak peminat bermunajat dan bermuhasabah mendekatkan diri kepada Allah sempena kedatangan bulan keampunan ini.

“Walaupun lagu ini merupakan lagu lama yang diberi nafas baru, pendekatan dari segi susunan muzik dan cara nyanyian agak berbeza daripada lagu asal, namun lirik taubat dan ketuhanannya tetap dikekalkan” menurut Sufian Suhaimi.

“Alhamdulillah, walaupun kita masih di dalam suasana pandemik dan pergerakan yang agak terbatas, namun kami bersyukur dan berterima kasih kepada Sufian Suhaimi dan syarikat rakaman beliau yang bersetuju untuk menjayakan kolaborasi ini selepas sebelum ini kami berjaya merakamkan single kolaborasi dengan artis terkenal seperti Khai Bahar, Sam Bunkface dan Aliff Satar” Ulas Syahril selaku ketua kumpulan Inteam.

“Kerjasama yang diberikan oleh pihak Sufian Suhaimi semasa sesi rakaman audio dan video muzik sangat baik dan nyanyian beliau memberikan nafas baru dan penghayatan terbaik untuk Damba Kasih versi 2022 ini” Tambah Hazamin Inteam.

Sufian Suhaimi bersama kumpulan Inteam
Sufian Suhaimi sewaktu merakam single Damba Kasih bersama Inteam

Lagu ciptaan Isman Hijjaz yang menggunakan nama pena Manis Helma dan lirik oleh Ito Lara dan Manis Alia ini merupakan sebuah lagu berbentuk luahan penyesalan dan taubat seorang hamba. Lagu ini pernah menjadi judul album dan lagu yang dimuatkan dalam album ketiga kumpulan nasyid Inteam yang telah terjual melebihi 30,000 unit pada ketika itu.

“Alhamdulillah, saya memang meminati lagu-lagu nasyid dan pernah menyanyikan lagu-lagu nasyid termasuk lagu-lagu dari kumpulan Inteam, jadi apabila ditawarkan bekerjasama dengan abang-abang Inteam, saya terus menerimanya dengan berbesar hati” tambah Sufian lagi.

Lagu Damba Kasih kini boleh ditonton dan didengar di platform-platform digital utama seperti rangkaian Youtube Inteam Digital, Spotify, Deezer, KKbox, Joox, Apple Music dan lain-lain lagi.

INTEAM × SUFIAN SUHAIMI – Damba Kasih 2022 (Official Music Video)
One thought on “Sufian Suhaimi dan Inteam bermunajat dalam ‘Damba Kasih 2022’”
  1. Наполеон Бонапарт доказывал: “Боевых усилий немного в целях защиты страны, между тем как оберегаемая народом держава непреодолима”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.