Selepas 12 tahun tidak mengadakan konsert di bawah jenama Sweet Charity, akhirnya mereka kembali bersatu untuk mengubat kerinduan peminat pada Konsert Berita Gempa di Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru, pada 29 Julai depan.

Datuk Ramli Sarip yang juga vokalis Sweet Charity turut berharap bahawa dengan’terpaterinya’ konsert itu nanti ianya sekaligus menepis sangkaan ramai bahawa kumpulan yang diasaskan pada 1969 itu sudah terkubur.

Datuk Ramli Sarip

“Sweet Charity ini satu kugiran yang agak unik, walaupun lebih 10 tahun tidak mengadakan sebarang persembahan tetapi kita masih ada ikatan itu dan kita tidak pernah mengisytiharkan pembubaran kumpulan ini.

“Setiap anggota kumpulan masing-masing mempunyai projek sendiri misalnya Rosli ada Rosli and Friends, Rahman dengan kumpulan Rasuk, Ahmad Jaafar ada dengan kerjanya sendiri dan saya sendiri masih lagi menyanyi,” kata Ramli Sarip.

Menurut Ramli Sarip, Konsert yang bakal diadakan di Johor Bahru ini lebih kepada mengembalikan nostalgia dan kenangan. Montaj bermulanya perjalanan Sweet Charity sehingga ke hari ini akan dipaparkan di konsert tersebut.

Rosli dan Ramli Sarip ditemui media secara eksklusif baru-baru ini

“Tapi apa yang saya rasa orang nak tahu adalah satu benda kembalinya nostalgia tu. Nostalgia dalam persembahan, lagu, momen dan kenangan kita. Saya rasa kalau di Johor Bahru tu rata-ratanya yang ada kenangan bersama Sweet Charity mungkin umur mereka sebaya kami dan waktu itu band-band daripada Johor yang popular semua pernah tengok kami dari bawah pentas.

“Arwah Yazid daripada usia remaja dia menyaksikan persembahan kami dan ketukan padu drum Rahman, begitu juga dengan Arwah Samad atau Man Kidal dia anggap Rosli Mohalim sebagai ‘Guitar God’.” ujar Ramli Sarip ketika ditemui media di Bangsar, baru-baru ini.

Suatu yang amat membanggakan Sweet Charity apabila kugiran ini masih utuh selama lebih 50 tahun dalam industri muzik dan tidak ramai kumpulan dan penyanyi lain yang seangkatannya bertahan hingga ke hari ini.

Sweet Charity

“Sweet Charity ada sejarah tersendiri. Kalau kami masih berjalan lebih 50 tahun, maknanya ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.  Kalau kita tengok sekarang pun tidak ramai kumpulan dan penyanyi sampai ke tahap itu.

“Jadi, bagi saya Sweet Charity ada peminat tersendiri. Mudah-mudahan konsert ini dapat menggabungkan peminat baharu dan lama. Mudah-mudahan nostalgia itu akan dikenang,” katanya lagi.

“Sebenarnya saya dan Sweet Charity mengimpikan untuk beraksi di konsert rock opera, misalnya Penunggu Rock Opera, Ribut Rock Opera dan sebagainya. Sebelum ini saya ada berjupa dengan beberapa orang produser yang pernah membuat konsert sedemikian, namun semuanya masih dalam perbincangan”, tambah beliau.

Rosli Mohalim

Sementara itu, pemain gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim telah menjalani latihan yang secukupnya agar konsert ini dapat berjalan dengan lancar. Beliau yang pernah diserang angin ahmar sebelum ini bersyukur kerana sudah sembuh dan berharap dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk konsert ini.

“Apa yang penting ialah kesihatan, saya sebelum ini diserang angin ahmar. Alhamdulillah saya sudah sembuh 90 peratus, semoga saya dapat memberikan persembahan yang terbaik untuk konsert ini” ujar Rosli Mohalim.

Antara objektif penganjuran konsert ini juga adalah untuk mengembalikan semula nostalgia yang pernah dicipta pada awal kemunculan sejak lima dekad lalu.