May 22, 2024

KUALA LUMPUR : Setelah berjaya memikat hati pendengar tanahair dengan single pertama mereka Sakitnya Hati, kini kumpulan Venus  muncul dengan single kedua mereka berjudul Maafkan Aku.  Kumpulan Venus ditubuhkan pada pertengahan tahun 2019. Dianggotai oleh Puteri sebagai vokalis, Ayoy sebagai pemain bass, Lan sebagai pemain gitar utama, Adi sebagai pemain gitar kedua dan pemain keyboard serta Hafis sebagai pemain dram.

Menurut Adi selaku penerbit bersama dengan Joe Slash, Maafkan Aku merupakan sebuah lagu kesinambungan dari Sakitnya Hati. Tidak hanya itu, single ini boleh diterjemahkan sebagai 100 peratus berkait ruang lingkup kehidupan personal dan karier seninya. Lagu dicipta oleh Joe Slash manakala liriknya di tulis bersama Natasyah, Hafiz Dot, Yoya, Puteri dan Mazlan Stapa.

Menurut Adi lagi, cabaran mereka di usia sekitar 30an, manakala Puteri selaku ahli yang paling muda berusia 21 tahun. 

“Mempertaruhkan Puteri sebagai vokalis Venus yang masih muda, kami berharap Venus akan lebih dekat dengan generasi baharu,” ujar adi yang juga merupakan vokalis utama 6ixthsense.

Mereka berharap agar pergorbanan mereka dapat memberi impak yang positif serta diterima oleh pendengar muzik tanah air.

Venus pertaruhkan single terbaharu berjudul Maafkan Aku

“Kami memilih lagu ini sebagai single kedua Venus kerana ia relevan dengan arus industri muzik di negara kita buat masa sekarang.

“Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini adalah keindahan melodi dan digarap liriknya dengan lebih matang. Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal secara total. Begitupun, kalau didengari semula, susunan muzik untuk lagu ini lebih moden,” Ujar Adi.

Menyambung bicara, pembikinan dan proses di belakang tabir untuk single ini memakan masa selama 3 bulan sebelum ia siap sepenuhnya. Selain itu, Adi dan rakan-rakan Venus yang  merupakan pemuzik sepenuh masa manakala Puteri merupakan penuntut di UiTM. Proses agak lama kerana disebabkan oleh faktor Covid-19 yang telah memberi kesan untuk mengeluarkan single kedua ini, setelah hampir dua tahun pandemik melanda.

“Harapan kami agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya bersama komposer yang terlibat. Tidak ketinggalan, saya sentiasa berambisi tinggi untuk terus menghadirkan lagu-lagu berkonsep unik dan moden bagi mewarnai kanvas bidang hiburan tempatan dan juga dalam tempoh pendemik yang memberi kesan yang kuat kepada pemuzik dan artis tanah air.” Jelas Adi lagi.  

Peminat boleh mendengar dan menonton video muzik rasmi lagu Maafkan Aku di saluran Youtube Astakona Entertainment.

Venus- Maafkan Aku (Official Music Video)