July 14, 2024

PUNCAK ALAM – Inisiatif menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan disambut baik golongan peniaga makanan di restoran bagi bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan pada harga yang berpatutan.

Pemilik Restoran MM Bistro Penang Nasi Kandar, Datuk Wan Noor Rizal Bin Ali, beliau yakin menu Rahmah yang diperkenalkan akan mendapat sambutan baik dari masyarakat khususnya mereka yang terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Tercetusnya idea untuk menyediakan menu Rahmah ini adalah inisiatif saya mendukung usaha kerajaan hari ini dengan menawarkan menu di bawah harga RM6.

Rizal menunjukkan menu Rahmah yang disediakan di restoran miliknya

“Saya juga ingin berkongsi rezeki kepada platform atau inisiatif yang tepat sekaligus golongan sasaran yang tepat. Memandangkan restoran kami terletak berhampiran dengan pusat pendidikan UiTM serta penduduk yang purata pendapatan pertengahan dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata kepada media di majlis perasmian restoran miliknya serta memperkenalkan menu Rahmah kepada lebih 500 pengunjung yang hadir di Puncak Alam, pagi tadi.

Majlis perasmian restoran dan pengenalan menu Rahmah

Isu menu Rahmah di sebuah restoran Pulau Pinang yang terpaksa dibatalkan adalah disebabkan pelanggan sudah terbiasa dengan menu biasa atau mungkin ada kelainan dari segi kuantiti dan rasa pada menu Rahmah itu.

“Saya akan teruskan menu Rahmah ini, saya tidak fikir tentang untung rugi, InsyaAllah, Allah bersama kita dan berharap pelanggan dapat menyokong usaha saya ini.

“Kami akan mengekalkan semua rasa pada menu Rahmah dan dijamin untuk kepuasan pelanggan,” jelasnya.

Menurut Rizal lagi, restoran miliknya akan mengekalkan konsep ‘Mamak Penang‘ serta mempromosikan budaya restoran Mamak Muslim yang sebenar.

Selain menyediakan nasi kandar yang menjadi menu wajib, beberapa menu istimewa juga disediakan antaranya teh tarik Komtar, nasi dalca dan roti canai terbang. Kesemua rempah ratus yang digunakan dalam masakan juga dibawa khas dari Pulau Pinang.

Roti canai terbang antara menu istimewa di MM Bistro Penang Nasi Kandar

Bersempena dengan pengenalan menu Rahmah dan pembukaan MM Bistro Penang Nasi Kandar, majlis telah dirasmikan oleh Dato’ Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato’ Mohamad Yaacob Bin Dato’ Ismail, Tuan Haji Yunus Bin Tasim, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada YB Dato’ Seri Salahuddin Bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup dan pemilik restoran tersebut, Datuk Wan Noor Rizal Bin Ali.