KUALA LUMPUR : Lapan tahun berlalu Datuk Ramli Sarip jelajahi tujuh destinasi dalam konsert siri jelajah ‘Blues Buat Teman Tour 2014’ yang bertujuan membantu kawan-kawan artis seperti Allahyarham Yazit Search, Hamid Black Dog Bone dan keluarga kepada Allahyarham Samad Mian Lefthanded. Siri jelajah itu berjalan dengan baik dan beliau dapat memberi sumbangan kepada ketiga-tiga insan seni tersebut.
Konsert jelajah kali ini khas untuk mempromosi album penuh Datuk Ramli berjudul Rasa yang diterbitkan pada tahun 2021. Perancangan konsert jelajah ini akan mula bergerak dari Johor dan berakhir di Singapura di bulan Oktober hingga Disember 2022. Beliau membawa tujuh Pemuzik hebat untuk bersama beliau dan akan membawakan lagu-lagu baru dari album Rasa dan juga lagu-lagu malar segar yang masih mahu didengar oleh peminat di mana saja beliau membuat persembahan.
Sebuah penghasilan album mengandungi pelbagai cerita yang terkandung dalam perjalanan muzik seseorang penghibur atau penyanyi yang mencipta lagunya sendiri dan bagaimana muziknya berkembang mengikut waktu dan keadaan yang dilalui dari suatu masa ke suatu masa.
Dari perasaan dan pemikiran peribadi terhadap hal-hal yang mencangkupi kehidupan yang dilaluinya hari-hari, pengamatan terhadap keadaan yang berlaku di sekeliling mahu pun yang menyentuh masyarakat serta umat sejagat sehinggalah hubungan spiritual dengan Tuhan, Rasa ibarat sebuah cermin suaranya terhadap kehidupan ini dalam fasa kematangan yang bersifat lebih matang lagi.
Menyentuh tentang Rasa, penghibur lagenda yang cukup ikonik dengan gelaran Papa Rock ini mengakui bahawa album baharunya itu memiliki segala resepi dan ramuan terbaik yang pernah dihasilkannya sebelum ini.
Apabila dapat menerbitkan album penuh dengan 10 buah lagu, ia memberikan satu kepuasan berbeza. Mencipta hala tuju dan merekacipta konsep sangat menarik. Ia seperti mengimbau era penerbitan album bersama Sweet Charity. Setiap album ada warna, karakter dan semangatnya yang tersendiri.
Pembikinan dan penerbitan album Rasa yang memuatkan 10 lagu ini menjadi lebih unik apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik Covid-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.
Bersama band muzik band muzik pengiringnya Soul Journey iaitu Rozario Rasul (pengarah muzik dan pemain keyboard), Rizal Halim atau Ritz Metalasia (pemain gitar kedua), Din Safari (pemain bass), Tom Annuar (pemain dram) beserta Allahyarham Fauzi Samin atau Aji (pemain gitar pertama), Ramli sempat merakamkan tiga lagu iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur.
Manakala di Singapura beliau menghabiskan tujuh lagu lagi bersama pemuzik terbaik Singapura saperti Addy Rasidi, Din Safari, Bani Hidir, Riduan Zalani, Al Hafiz Jumat dan Julian Lim.
“Cinta Di Sebalik Musim adalah karya seorang komposer dari Singapura bernama T-Zi dan liriknya dihasilkan oleh penulis lirik terkenal Malaysia, S Amin Shahab. Tajuk lagu ini diangkat sebagai tema konsert jelajah kali ini kerana mengikut Ramli lagu ini menceritakan musibah yang melanda dunia.
“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saya melalui saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku. Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.
“Kerana itulah Rasa kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.
“Citarasa baru ini memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.
Untuk konsert jelajah kali ini, gabungan pemuzik berkaliber dari Malaysia dan Singapura akan dibawa bersama ke tujuh destinasi. Mereka terdiri daripada Rozario Rasul (pengarah muzik dan pemain keyboard), Rizal Halim (pemain gitar utama), Addy Rasidi (pemain gitar kedua), Din Safari (bes gitar), Tom Anuar (dram), Mohardiman Ismail (flute) dan Riduan Zalani (perkusi).
Tiket konsert boleh dibeli melalui laman sesawang www.ilassotickets.com atau hubungi talian yang tertera di poster.