Jika kita ke Kuala Lumpur, pastinya akan terserempak dengan sekumpulan pemuzik jalanan atau busker samaada di kawasan Bukit Bintang mahupun di hadapan bangunan pusat membeli belah Sogo. Sudah mencecah usia 12 tahun mereka menghiburkan warga kota yang berkunjung di sekitar kawasan tersebut. Pengunjung dari pelbagai latar belakang usia, kaum, agama dan kerjaya hadir semata-mata ingin melihat kehebatan Bob dan Sentuhan Band beraksi bagi menghiburkan mereka yang datang dari pelbagai destinasi.
Penyanyi utama Sentuhan Band, Bob atau nama sebenarnya, Mohd Aizad Rahman berasa teruja dan berbesar hati apabila RYZ Event sudi untuk menganjurkan Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band yang telah diadakan pada 18 November lalu bertempat di Panggung Asia, Gombak. Bob menyifatkan konsert ini sebagai lambang kejerihan dan pengorbanan, terutama bagi seniman yang berkarya di jalanan yang berjuang tanpa lelah.

Tirai konsert dibuka pada jam 9 malam dengan disirami cahaya lampu serta diiringi bunyian kibod dan petikan gitar, maka bergemalah Spirit Of Life, Kuala Lumpur dan Negaraku Yang Tercinta menjadikan suasana malam di panggung Asia menjadi lebih gamat dengan persembahan hebat Bob dan Sentuhan Band.
Berbekalkan sebuah gitar bersamanya, Bob tidak menunjukkan rasa kekok bila berhadapan dengan 300 penonton yang hadir bagi menyaksikan persembahan beliau. Dengan pengalaman selama 12 tahun bermain muzik di jalanan, menjadikan Bob begitu matang seperti mana beliau melalui hari-harinya dengan mengadakan busking di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur demi menyara kehidupannya.


“Terima kasih kerana sudi hadir, walaupun kita tahu ada banyak konsert yang sedang berlangsung pada malam ini.” Ujar Bob. Seterusnya Bob melanjutkan persembahan menerusi lagu Hey kau Manusia, Forever, Kasih dan Bukit Bintang.
Konsert Ulang Tahun ke-12 Bob & Sentuhan Band turut menampilkan bakat Singapura, Ryzal Aziz dengan mendendangkan beberapa buah lagu cover seperti Seruan (Lefthanded), Fenomena (Search) dan Penjara Janji (Awie). Bukan itu sahaja, Bob juga menjemput pemuzik-pemuzik yang pernah bersama dengan Sentuhan Band naik ke atas pentas dengan membuat persembahan secara santai dalam segmen ‘Open Jamm’. Kelihatan peminat tegar Bob dan Sentuhan Band yang sentiasa ada saat mereka mengadakan busking juga tampil di atas pentas.



Selain penampilan Ryzal Aziz, istimewa konsert ini menngundang khas seorang penyanyi cilik Cinta Suci Indah Urmila Zaidi yang lebih dikenali sebagai Adik Cinta. Pernah viral dan menjadi perhatian warganet apabila Cinta menyanyikan lagu-lagu Ratu Rock Ella bersama busker Sentuhan Band. Mendapat tepukan paling gemuruh penonton, Adik Cinta menyampaikan 3 buah lagu cover menerusi Tiada tangis Lagi, Puteri Kota Ella dan Pelesit Kota.


Sekai lagi Ryzal Aziz muncul di atas pentas berduet bersama Bob menerusi lagu popular Search, Menara kesesatan. Ryzal meneruskan persembahan menerusi 2 buah lagu berjudul Rising Force dan Tom Sawyer Rush. Sebelum itu penonton disajikan hentakan dram padu oleh Amri menerusi lagu Motorhead, Ace Of Spade dan sebuah lagu berjudul Jihad oleh Sentuhan Band.

Rainbow In The Dark dan Wasted Years, lagu asal nyanyian Iron Maiden adalah encore terbaik yang dibawa oleh Sentuhan Band sebelum tirai pentas dilabuhkan. Biarpun masih mengekalkan konsep busking, muzik secara keseluruhannya yang cenderung kepada lagu-lagu hard rock beserta sistem bunyi dan sorotan cahaya pentas ianya amat sesuai untuk sebuah konsert marhaen.
Dianjurkan oleh RYZ Event, konsert ini juga turut mendapat kerjasama daripada Timeless Studio selaku penaja bersama dan Mewah Event Management untuk rakan strategik.

(Foto: Subky Hj Bebit)