June 13, 2024

PETALING JAYA – Penghijrahan Amer Munawer Yusoff sejak mengundurkan diri daripada kumpulan Ruffedge, bukanlah rahsia dan 13 tahun ini yang membuka ruang untuknya lebih mengenali diri telah mencambahkan rasa mendamaikan yang diluahkannya lewat single, CintaMu.

Dan 23 Jun 2023 dipilih bagi melancarkan karya bernuansa pop R&B itu yang menjadi kecenderungan muziknya sejak dulu dengan lirik bertema kerohanian, sesuai pengalaman yang dikutip dalam perjalanannya yang kini ingin dikenali sebagai Amer Bin Yusoff.

CintaMu yang menampilkan Rahim InTeam dan Syed Yassin, seorang penyanyi qasidah Brunei, dirakam dalam dua versi, termasuk akustik.

Amer Yusoff

Dilancarkan bawah label Blackstone Productions, CintaMu merupakan ciptaannya sepenuhnya dengan susunan muzik oleh Zaha Aziz yang juga penerbit bagi single ini. Dirakam di Studio InTeam, ia menjalani proses mixing dan mastering di Rekaman Studio, manakala InTeam sebagai pengedar digital.

Amer berkata, CintaMu adalah perkongsian mengenai kefahamannya tentang perjalanannya yang bertitik tolak daripada kesedaran yang dibibitkan oleh penyampaian agamawan yang dikaguminya, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid, lebih sedekad lalu.

“Diinpirasi daripada perkongsian Habib Ali, lahirlah CintaMu yang menyentuh tentang soal reda lewat zikir yang menenangkan. Masih dengan genre pop R&B yang menjadi kecenderungan muzik saya, hanya liriknya bertema kerohanian yang boleh disimpulkan sebagai prinsip hidup saya kini dengan kefahaman hidup ini perlu satu saja, iaitu reda.

“Ia dinukilkan menerusi zikir yang dijadikan korus, reda dalam erti kata sebenar, iaitu yang ingin didengari Allah daripada hambaNya bahawa Allah ingin kita ini yang reda berTuhankan Allah. Sebab zikir itu hadir dengan kaifiyat apabila kita membacanya sekali, masuk syurga dan jika dilatih banyak perkara akan dapat difahami.

“Muhammad itu Nabi yang diutus kepada umat ini dan dengan syahadah kita menganut agama yang selamat, iaitu Islam, dan kunci paling besar ialah kita ada Tuhan. Jadi, apabila kita berpegang pada tiga perkara itu, kita reda dan ikrar diri Islam, itu yang akan membuat hidup kita lapang, InsyaAllah,” katanya pada majlis Sidang Media Pelancaran Single CintaMu di sini, Jumaat lalu.

Pada majlis itu, Amer BinYusoff diperkenalkan Zaha yang juga pengasas Blackstone Productions sebagai artis pertama label tempatan itu yang berpejabat di Kota Damansara, di sini. Turut hadir, Pengarah Megatix Malaysia,Ridzuan Mohammad dan Presiden Pertubuhan Ibu Bapa Anak-anak Istimewa Malaysia (Prisma), Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai rakan strategik, selain Sahabat Qitmir dan Balurih Travel.

Amer mengakui melodi bagi korus CintaMu dicipta seawal 2010, namun kesibukan bersama Al-Mawlid, sebuah gerakan komuniti berlandaskan seni yang diasaskannya menghalangnya daripada meneruskan projek solonya yang hanya baru ini dapat direalisasikan.

“Al-Mawlid menyaksikan kolaborasi saya dengan beberapa rakan seni, termasuk menerusi album yang menggunakan judul sama pada 2012. Juga mengetengahkan genre pop R&B, ia berisi selawat melalui lagu-lagu seperti Cahaya Seluruh Alam, Ingin BersamaMu dan Menuju ke Madinah. Sebagai artis solo, saya lebih dulu merakam single Seluruh Mahabah, diikuti Maha Suci Allah yang menampilkan kumpulan nasyid, UNIC.

“CintaMu asalnya mahu dirakam di bawah Al-Mawlid, tapi tertangguh kerana tidak berjumpa arranger yang sesuai sehinggalah saya bertemu Zaha yang kemudian melamar Amer BinYusoff untuk menjadi artis solo pertama Blackstone Productions. CintaMu bukan comeback kerana saya tidak pernah meninggalkan dunia seni, sebaliknya tertumpu pada kerja-kerja di belakang tabir dan kini meneruskan projek yang tertunda,” katanya lagi.

Amer berharap CintaMu yang nukilannya diawali dengan kerinduannya pada Sang Khaliq sebelum membawa pendengar menyelami erti reda yang disempurnakan bersama kerinduan untuk menatap wajah Rasulullah menjadi penawar buat jiwa yang mendengar.

“CintaMu, dengan lagu dan liriknya yang sekiranya diamati, terutama zikirnya menjadi kaedah tenangkan diri. Ini zaman manusia mencari solusi kepada kesemakan dunia yang menyebabkan ada berdepan depresi. CintaMu adalah hadiah saya buat masyarakat dengan doa agar umat ini menjalani hidup lebih aman,” katanya.

Single CintaMu telah dilancarkan dan boleh didengari di semua platform digital.

CintaMu (feat. Abdul Rahim Inteam, Syed Yassin)