KUALA LUMPUR : Bermula sebagai sebuah idea mudah untuk mencungkil bakat-bakat baru dari dunia hip hop, namun kini berubah menjadi salah satu wadah terhebat untuk mengesan pelapis baru irama rap serta hip hop.
Ya, 16 Baris, cetusan idea ‘presiden’ hip hop Malaysia, Joe Flizzow bakal kembali dengan lebih banyak kejutan menarik.
Malah, rancangan tersebut juga telah menerima pujian dari salah satu legenda hip hop dunia, bintang rap Amerika Syarikat Snoop Dogg yang telah mengakui kehebatan rancangan itu secara terang-terangan dalam mengiktiraf para penyanyi rap yang masih belum berkontrak rasmi.
Tahun ini ia kembali dengan tujuan utama yang sama iaitu mencari bakat-bakat hip hop terbaik negara.
“Sejak dua tahun yang lalu, dunia hip hop telah melahirkan satu generasi baru penyanyi rap dan di sinilah peluang mereka untuk menunjukkan bakat mereka bersama dengan komuniti hip hop yang sedia ada,” ulas Joe mengenai musim baru 16 Baris.
Joe juga menegaskan bahawa rancangan ini sememangnya satu platform yang luar biasa dan tapak terbaik untuk mengesan mereka yang hebat.
“Rancangan ini memberi peluang kepada para peserta untuk berlaku jujur dalam seni mereka, dan seperti yang dituntut dalam muzik hiphop, mereka hanya diberi 16 baris untuk menyerlah. Jadi jika anda diberi hanya satu peluang tersebut, apa yang akan anda lakukan? Bagaimana persiapan anda?
“Setiap penyanyi rap baik yang sudah terkenal atau baru akan diberi peluang untuk membuktikan bahawa mereka sememangnya terbaik. Setiap peserta harus yakin yang mereka terhebat di tahap tertentu dan rancangan ini akan memberikan mereka kesempatan itu untuk membuktikannya,” jelas Joe.
Program ini juga telah berjaya menyatukan dunia hip hop yang semakin berkembang dan memecahkan pelbagai penghalang.
“Ia bukan sahaja berjaya memecahkan penghalang dari sudut bangsa tetapi juga mengembara ke luar negeri malah negara. Ia telah melahirkan 16 Baris di Australia dan juga di Thailand. Selepas mengetahui bahawa legenda hip hop seperti Snoop Dogg dan Lupe Fiasco juga mengikuti 16 Baris, ia terbukti bahawa rancangan ini memang luar biasa,” kata Joe dengan bangga.
Joe juga memberitahu bahawa kali ini 16 Baris akan menampilkan lebih banyak konsert. “Bukan hanya satu mungkin lebih banyak. Kami akan umumkan tak lama lagi. Kami juga merancang untuk menjelajah seluruh negara. Jadi Malaysia, inilah peluang anda untuk menyerlah dan meraih kejayaan.
Tunjukkan pada kami yang andalah yang terhebat dan buktikan kemampuan di 16 Baris. Ayuh!” bingkas Joe di hujung sambil mengajak para pelapis dunia rap untuk turut serta.
Ujibakat buat para penyanyi rap dan pembuat beat atau ‘beatmakers’ sedang berlangsung sehingga 7 Oktober 2022. Mereka yang berminat perlu mengikuti langkah-langkah berikut :
PENYERTAAN BUAT PARA PENYANYI RAP (RAPPERS)
Langkah 1: Rakam video anda sedang menyanyi rap atau ‘rapping’
Langkah 2: Hantarkan video anda di salah satu wadah media sosial berikut – Instagram Reels
atau Facebook atau YouTube Shorts atau TikTok
Langkah 3: Tag @16.Baris (Instagram) @16BarisOfficial (Twitter & FB) @16Baris (TikTok)
@16BARIS (Youtube) dengan hashtag #16BS3Audition & #16BS3Rappers
Langkah 4: Klik link di bio untuk mengisi borang dan hantarkan pautan (link) video anda.
PENYERTAAN BUAT PARA PEMBUAT ‘BEAT’ ATAU BEATMAKER
Langkah 1: Rakam video anda memainkan ‘beats’
Langkah 2: Hantarkan video anda di salah satu media sosial berikut – Instagram Reels atau
Facebook atau YouTube Shorts atau TikTok
Langkah 3: Tag @16.Baris (Instagram) @16BarisOfficial (Twitter & FB) @16Baris (TikTok)
@16BARIS (Youtube) dengan hashtag #16BS3Audition & #16BS3BeatMakers
Langkah 4: Klik link di bio untuk mengisi borang dan hantarkan pautan atau link video anda.
*Setiap peserta boleh menghantar lebih dari satu penyertaan beat.
16 Baris bakal ditayangkan di siaran YouTube 16 BARIS bermula 3 November 2022. 16 Baris diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, Def Jam Recordings Malaysia dan Rocketfuel Entertainment.