July 18, 2024

SELAYANG – Pelancaran Album Rock Never Dies menyaksikan 20 buah lagu dimuat ke dalam album kompilasi rock terbaru Malaysia. Turut dilancarkan ialah Konsert Rock Never Dies pada 10 Ogos 2024 di Warisan Hall Studio dengan tiket cuma RM50 sahaja.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato’ Awie dengan jayanya. Terdapat pelbagai sub genre rock dimuatkan dalam album ini, tidak kira dari pop rock hingga ke metal rock semua ada termasuk juga indie rock seperti The Alif ft MARIONEXXES dengan lagu berjudul Halal. Album yang penuh dengan perisa rock, sememangnya rock.

Bagi Ajak Melissa, beliau berusaha mengumpulkan band-band yang berteraskan muzik rock untuk diabadikan dalam sebuah album agar muzik yang mereka perjuangkan tidak akan terus terpadam.

“Tahun 2024 pelbagai muzik telah masuk  dan lagu-lagu sekarang ada yang macam sembang di kedai kopi, itulah peredaran muzik sekarang, kalau ikutkan kita pun tak boleh nak masuk dengan muzik macam ni tetapi itulah kehendak pendengar muzik sekarang. Kalau boleh kita janganlah ketinggalan sebab itu saya kumpulkan mereka ini supaya boleh jalan seiringan untuk mengiringi industri muzik pada masa ini agar tidak terus terpadam.” Katanya ketika ditemui sewaktu sidang media di Restoran Asam Pedas London, di sini.

Album Rock Never Dies ini juga merentasi sempadan apabila band dari Singapura iaitu kumpulan The Flow dan Korokodel turut dijemput untuk menjayakan album ini. Majlis juga menampilkan kumpulan rock otai seperti Melissa, Meditasi dan Lemon T. 

“Zaman rock mungkin telah berakhir tetapi dengan perubahan citarasa tak mustahil rock kembali menggegarkan persada seni tanah air” kata Sood dari kumpulan Roots N Boots merujuk kepada kegemilangan rock era 80an dan 90an.

Perjalanan acara ditambah seri dengan montaj kesemua 20 band yang terlibat. Unik juga ada pengumuman pelancaran muzik video oleh The Voltage terus menggamit suasana. Previu lagu-lagu menarik minat untuk para penonton dari kalangan media untuk mendapatkan album ini yang hanya boleh didapati dari setiap band yang terlibat. 

Kompilasi album yang dianjurkan FGI Entertainment dibantu Melissa Records telah dirancang sejak awal tahun lagi berjaya mengumpul kumpulan rock dari pelbagai latar memudahkan para peminat rock menikmati muzik dalam sebuah naskhah unik. 

Kebanyakan kumpulan rock telah berpecah tetapi hasil projek ini dapat menggabungkan semula mereka untuk bersama-sama meneruskan perjuangan. Kumpulan EXIT wujud sejak 1985 pun ada sama menyumbangkan lagu mereka. Begitu juga kembali semula kumpulan Bahtera yang albumnya pernah kontroversi digam suatu ketika dahulu. Nama-nama baharu seperti Bumantra, Crossover dan Burntara juga tidak kurang hebatnya.

Kumpulan punk rock, SIOT dengan lagunya Politik antara lagu paling terbaik dalam album ini. Kemudian tidak lupa pecahan kumpulan Viper dengan gabungan semula Lee Viper membentuk X-Ternal harus diberi perhatian. Terpaling lejen Sons of Adam juga terbaik lagunya, Hey Bro nuansa pop rock blues yang mencengkam. Album diakhiri dengan lagu OST dari filem Taufan Ganas oleh MANUSIA.

Album Rock Never Dies boleh didapati dari sosial media setiap band yang terlibat. Cetakan pertama 600 unit telah habis dijual. Tempahan baharu telah dibuka sekarang dalam bentuk CD dan pendrive pada harga RM50 sahaja.