20 Tahun Dalam Muzik: Kotak dan Ello Hadiahkan Konsert Istimewa Buat Sabah

KOTA KINABALU, 12 April 2025 – Buat julung kalinya, dua ikon muzik tersohor dari Indonesia, kumpulan rock terkenal Kotak dan penyanyi berbakat besar Marcello Tahitoe atau lebih dikenali sebagai Ello, bakal menggegarkan pentas ITCC Penampang dalam sebuah konsert istimewa berjudul Konsert 2 Dekade – Kotak X Ello – Live in Malaysia, yang dijadualkan berlangsung pada 14 Jun 2025.

Konsert yang dianjurkan oleh NS Show Connects Sdn Bhd dengan kerjasama ITCC Penampang ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 penglibatan Kotak dan Ello dalam industri muzik. Ia juga merupakan satu penghormatan kepada peminat setia mereka di Malaysia, khususnya di Sabah, kerana Kota Kinabalu dipilih sebagai satu-satunya lokasi persembahan luar Indonesia untuk acara berskala besar ini.

Kotak

Menurut wakil penganjur, Alfian Basir, pemilihan Sabah sebagai lokasi konsert bukanlah satu kebetulan. Ia adalah simbol penghargaan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan padu sejak awal pembabitan kedua-dua artis dalam dunia muzik. Beliau menyifatkan konsert ini sebagai sebuah persembahan eksklusif yang menyatukan dua figura besar dengan gaya muzik berbeza tetapi tetap dekat di hati peminat serantau.

Bagi Tantri, vokalis utama Kotak, keterujaan untuk kembali beraksi di Malaysia sukar dibendung. Beliau menyifatkan peluang berkongsi pentas dengan Ello sebagai satu momen istimewa dan tidak sabar untuk bertentang mata dengan para peminat di Sabah. Katanya, konsert ini bukan sahaja akan menyajikan persembahan penuh tenaga, malah akan menjadi malam penuh emosi, memori dan penghargaan buat semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seni mereka selama dua dekad.

Kotak yang dianggotai oleh Tantri, Chua dan Cella sudah lebih 20 tahun berada dalam radar industri muzik dan berjaya menghasilkan deretan lagu hits serta menerima pelbagai anugerah, bukan sahaja di Indonesia, malah turut diiktiraf di pentas antarabangsa. Lagu-lagu mereka seperti BeraksiPelan-Pelan Saja dan Haters menjadi siulan peminat dan sering kali mewarnai carta muzik.

Ello

Ello pula membina nama sebagai antara penyanyi solo paling berpengaruh di Indonesia dengan karya-karya penuh jiwa seperti Masih AdaPergi Untuk Kembali dan Gala Gala. Dalam tempoh 20 tahun, beliau telah mengumpul pelbagai anugerah dan kini turut dikenali sebagai salah seorang penyanyi utama kumpulan legenda Dewa 19, menandakan betapa kukuhnya kedudukan beliau dalam dunia muzik Indonesia.

Jualan tiket untuk konsert ini telah pun dibuka sejak semalam menerusi laman web Ticket2U. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori, bermula dari RM139 bagi kawasan General Standing sehingga RM289 bagi tempat duduk bernombor di zon VIP. Tiket tambahan untuk sesi istimewa Meet & Greet bersama artis turut ditawarkan pada harga RM99.

Peminat muzik rock Indonesia di Sabah disaran mendapatkan tiket seawal mungkin bagi mengelakkan kekecewaan kerana sambutan terhadap konsert ini dijangka luar biasa. Dengan gabungan dua bintang besar dalam satu malam yang penuh sejarah, Konsert 2 Dekade – Kotak X Ello pastinya menjadi antara acara muzik paling berprestij di Kota Kinabalu tahun ini.