KUALA LUMPUR – Menemani anda sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, RTM tampil menyiarkan tiga buah drama bersiri yang bukan sahaja menjanjikan plot kisah menarik malah mengetengahkan barisan pelakon yang mantap. Ketiga-tiga drama bersiri 30 episod ini disiarkan menerusi saluran TV utama RTM.
Isi kandungan
Dia Dari Syurga
Mengisi slot Widuri tontonan ramai setiap kali bulan Ramadan iaitu drama bertajuk āDia Dari Syurgaā yang disiarkan sepanjang Ramadan kecuali Jumaat, pukul 12.05 tengah hari di TV1. Membariskan lakonan mantap Aliff Aziz sebagai Khalil dan Ummi Nazeera sebagai Raisha juga turut dibantu Fazlina Ahmad Daud, Nina Smith, Nafiz Muaz, Ryun Ryry dan Shazia Rozaini.
Kisahnya tentang Raisha, wanita hebat yang diuji dengan kematian suami yang dikasihi. Atas dasar kasihkan menantu, mentuanya Farizah berharap Raisha yang yatim piatu terus tinggal di rumah mereka. Segalanya berjalan lancar sehinggalah kembar kepada suaminya, Khalil muncul lalu memutuskan untuk tinggal di rumah yang sama. Kewujudan Khalil membuatkan Raisha tidak selesa untuk terus tinggal di situ.
Berura-ura untuk pindah, Puan Farizah tiba-tiba sahaja jatuh sakit. Keadaan bertambah kucar kacir apabila Puan Farizah didiagnosis dengan satu penyakit hingga memaksa Raisha dan Khalil untuk bernikah.
Nyawa Berganti Cinta
Sementara itu, TV2 pula tampil dengan drama bersiri āNyawa Berganti Cintaā, setiap hari, pukul 6.00 petang. Ia mengisahkan konflik yang dihadapi seorang doktor pakar pemindahan organ apabila beliau sendiri terpaksa berdepan dengan cabaran profesionalisme iaitu antara mengutamakan pesakit dalam senarai menunggu atau mengutamakan nyawa isteri sendiri dalam pemindahan buah pinggang bagi meneruskan kehidupan. Izhar seorang doktor yang komited dengan kerjayanya sehingga dianggap mengabaikan isterinya, Aishah yang menderita menghidap barah.
Drama ini menggandingkan pelakon Azlee Khairi, Aishah Azman, Nana Shukri, Fakri Shafiq, Norkhiriah, Muaz Fitri dan Shiela Mambo.
Kasih Nelisa
Melengkapkan tayangan drama bersiri āKasih Nelisaā, setiap hari, pukul 2.30 petang bersiaran di Okey lakonan Puteri Lofea, Dato Ahmad Tamimi Siregar, Rusdi Ramli, Nafiez Zaidi, Marisa Yasmin dan Kamarool Haji Yusoff.
Kisahnya tentang konflik hubungan kekeluargaan di antara Tok Ayah (Imam Mustafa) dan anak kandungnya, Hashim akibat perselisihan faham antara mereka di masa lalu. Nelisa selaku cucu ingin melihat ayah dan atuknya kembali berbaik dan telah merancang untuk menyatukan kembali mereka bersama. Di samping itu, hadirnya Ustaz Asri yang selalu berada di sisi Tok Ayah dan juga Aisyah yang cemburu melihat keakraban Asri dengan Nelisa. Manakala, Hafiz tidak berputus asa untuk memenangi kembali hati Nelisa.
Kepada yang terlepas menyaksikan tayangannya menerusi saluran TV, RTM turut memberikan peluang kepada anda untuk mengikuti penstriman langsung secara percuma menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).