February 16, 2025

KUALA LUMPUR : Malam konsert yang dinanti-nantikan peminat muzik rock tanah air telah berlangsung pada 27 Ogos lalu dengan jayanya, ‘YOLO Live Sessions: 3 Generasi’ menghimpunkan ‘otai-otai’ rock negara seperti kumpulan Spider, Noh Salleh dan band XPDC yang dibawakan khas oleh jenama penganjur acara kian menempa nama iaitu YOLO Malaysia.

“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar, seramai hampir 2,500 pengunjung hadir menonton persembahan memukau dari ketiga-tiga ‘act’ yang membuat persembahan seperti kumpulan Spider yang popular di sekitar tahun 90an dan 2000, ‘King of Rock n Roll’, Noh Salleh dan band legendaris yang sentiasa dalam ingatan, XPDC,” kata Hamka Mohd Taufik, selaku Penerbit Kreatif YOLO Malaysia.

Menurut Haniff Hamzah pula, yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, “Belum pernah lagi mana-mana penganjur acara yang berjaya menghimpunkan 3 generasi pemuzik dengan 3 genre rock yang berbeza dalam satu konsert. Rata-rata pengunjung yang hadir terhibur dan ‘sing-along’ dengan lagu-lagu yang dipersembahkan.”

Terdahulu, YOLO Malaysia pernah menganjurkan 6 buah konsert secara digital dengan jayanya ketika negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada tahun 2020 yang lalu bagi artis seperti Tuju & Loca B, Zizi Kirana, Dolla, All Starz Division dan Ruffedge.

Spider menjadi band pertama yang membuka tirai konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi

Aksi pertama pada malam konsert dimulai kumpulan Spider dengan membawakan lagu-lagu hit mereka seperti Anti Graviti, Kacap Terlabik, Kau Saja, Hidupku, Mungkinkah Terjadi, ‘tribute’ istimewa Mentera Semerah Padi, Kelawar Vampira dan Mabok.

“Ini adalah konsert pertama bagi Spider walaupun berkongsi pentas dengan nama-nama besar industri rock kita, dan peminat yang hadir sangat ‘happening’ dan ‘enjoy’ serta tidak puas melihat persembahan kami. Istimewanya, sifu Dato’ M. Nasir turut hadir memberi sokongan dan kami sempat membuat ‘tribute’ spontan buat beliau melalui lagu Mentera Semerah Padi,” jelas Tam, vokalis Spider.

Ketika aksi kedua dipersembahkan, Noh Salleh membawa ‘mood’ yang lebih romantis ke dalam dewan Zepp KL dengan menyanyikan lagu-lagu berentak retro popularnya seperti Gelung, Renjana, Mr. Polia, Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.

Persembahan kedua oleh Noh Salleh yang ‘mood’ yang lebih romantis

“Pada malam ini saya membawakan 10 pemuzik iringan di pentas Zepp yang merupakan francais dari Jepun yang sangat eksklusif. Saya berbangga dapat membuat persembahan di sini, kerana muzik Jepun banyak pengaruhnya dalam hidup saya sewaktu membesar,” kongsi Noh Salleh.

Terakhir, band rock yang digelar ‘Raja Funfair’, XPDC mempersembahkan lagu-lagu rock malar segarnya seperti Ntahapahapantah, Raja Kertas, medley 3 lagu (Titian Perjalanan, Hentian Ini dan Aku Dan Sesuatu), Selendang Merdeka, Kita Pengyu, Senapang Patah, Hidup Bersama, Bukan Milik Aku dan Semangat Yang Hilang.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana tidak mampu menghabiskan 3 lagu terakhir kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, namun saya bersyukur kerana anak saya, Syed Israffil Syed Ismail tampil menyambung baki persembahan dengan menerima sorakan gemuruh dari penonton yang tidak putus-putus memberikan sokongan yang padu. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada peminat-peminat yang sanggup membeli tiket dan pihak penganjur YOLO Malaysia di atas peluang yang diberikan,” jelas Mael, vokalis utama band XPDC.

Sebelum tirai konsert dilabuhkan, peminat dihadiahkan dengan persembahan istimewa dari ketiga-tiga artis yang terlibat melalui lagu keramat kesukaan ramai, Semangat Yang Hilang.

Persembahan ketiga yang dinantikan peminat band legenda XPDC
Syed Israffil menghabiskan baki lagu disebabkan masaalah kesihatan ayahnya

Menurut Ib Harun, pengasas YOLO Asia, “Terima kasih kepada kesemua pembeli tiket konsert dan artis-artis yang terlibat. Semua yang hadir dapat merasai magisnya malam ini melalui sistem bunyi yang padu, pentas yang besar dan penataan cahaya yang gempak demi menjamin kepuasan semua. 

“Jangan lupa nantikan pengumuman seterusnya dari YOLO Malaysia tidak lama lagi dengan membawakan aksi yang lebih menarik, iaitu sebuah band ternama dari Indonesia.” Katanya lagi.

Ribuan penonton memenuhi dewan Zepp KL bagi menyaksikan konsert 3 Generasi
XPDC
Noh Salleh dan pemuzik iringannya
Persembahan Spider di hadapan ribuan penonton