KUALA LUMPUR, 2 JANUARI 2022 – Empat bintang program Hijrahkan Laguku diumumkan layak ke peringkat akhir program Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah yang bakal berlangsung pada 8 Januari ini.
Datuk Nash, Shahir Zawawi, Mark Adam dan Iwan Shahman berjaya ke peringkat akhir sekali gus menyaksikan dua peserta yang berada di dua kedudukan terbawah iaitu Zaf VE dan PG Adam yang tersingkir pada peringkat separuh akhir yang berlangsung malam tadi.
PG Adam telah menyanyikan lagu Kekasihku Abadiku yang lagu asalnya adalah Untuk Selamanya nyanyian kumpulan Visa. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan untuk musim akan datang.
“moga-moga penonton yang mengikuti program ini mendapat manfaat dari segi lirik-lirik yang kami lantunkan setiap minggu agar meninggalkan kesan dalam hati mereka dan dapat memberikan pengajaran yang baik. Sebagai khalifah di muka bumi ini, saya menggunakan platform yang diberi ini dengan sebaik mungkin.” Katanya.
Zaf VE yang turut tersingkir menyanyikan lagu Kerna Kasihnya yang mana lagu asal adalah Cinta Luar Biasa nyanyian Andmesh Kamaleng. Beliau berpendapat dengan adanya program seperti ini memberi laluan kepadanya sebagai seorang penyanyi ke satu tahap yang lain dengan berlandaskan syariat Islam.
“Alhamdulillah, TV Alhijrah telah memberi ruang kepada kami dan pemilihan setiap peserta juga mempunyai cabaran yang berbeza. Saya juga mengucapkan tahniah kepada adinda dan kekanda saya yang melangkah ke peringkat akhir, buat yang terbaik, teruskan perjuangan dan saya rasa masih jauh lagi perjalanan kita dalam industri ini.” Katanya.

Pada pentas separuh akhir itu, Shahir yang menyanyikan lagu Salam Terakhir dendangan asal Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad diumumkan pemenang Bintang Qudwah yang membawa pulang RM3,000. Wang kemenangan itu bakal diwakafkan kepada badan kebajikan.
Mark Adam turut gembira apabila penyanyi Adeep Nahar yang menyanyikan lagu Cahaya Mata yang mana lagu asal adalah Anak dendangan Freddie Aguilar telah menggantikan tempat beliau juga berjaya melangkah ke peringkat akhir. Mark Adam tidak dapat bertanding di separuh akhir disebabkan beliau yang masih menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 minggu lalu.
Program dihoskan Faizal Ismail dan Bell Ngasri itu menggunakan format penjurian 100 peratus juri profesional. Juri terdiri daripada komposer Fauzi Marzuki, Ustaz Zul Ramli dan juri jemputan Isman Hijjaz.
Program Hijrahkan Laguku dihangatkan dengan persembahan pembukaan oleh Ali XPDC / Terra Rossa dengan menyampaikan lagu Allah Yang Esa lagu asal Bunga Angkasa dan Semangat Yang Hilang.






