May 4, 2024

KUALA LUMPUR – Gandingan empat pelakon asal Borneo, Azam Pitt, Sabhi Saddi, Tati Eliana dan Dayang Areeda membintangi drama siri bertajuk ‘Sebiru Hujung Borneo’ sedang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9.00 malam di saluran Okey. 

Turut menampilkan pelakon berpengalaman Datuk Hajah Fauziah Nawi, dan Datuk Jalaluddin Hassan, drama kekeluargaan 20 episod ini mengisahkan tentang seorang gadis Rungus dari Simpang Mangayau Kudat (Tip Of Borneo) bernama Kilina yang bercita-cita menjadi seorang penyanyi. Kilina menyertai pencarian Bakat Bintang Kudat untuk mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi.

Kilina lari dari rumah panjang untuk mengejar impiannya di Kuala Lumpur. Malangnya, Kilina hamil dan ditinggalkan Edry. Kilina kembali ke Simpang Mangayau untuk tebus kesilapannya. Bagi menutupi keterlanjurannya, Kilina menipu bapanya Gindarom  dengan mengatakan dia sudah berkahwin dan suaminya akan datang kemudian di rumah panjang.

Sementara itu, Arman pemuda dari Kuala Lumpur mahu jadikan perkahwinannya dengan Rina sebagai hadiah kepada Hajah Rohana, nenek kesayangannya sebelum Hajah Rohana menutup mata. Malangnya, Rina tinggalkan Arman pada hari sesi fotografi pra-perkahwinan mereka di Simpang Mangayau.

Semasa bergegas ke Kudat mencari Rina, Arman tersesat di rumah panjang. Gindarom menyangka Arman adalah suami Kilina lalu arahkan keluarganya membuat majlis menyambut Arman. Saat Arman buka mulut untuk nyatakan hal sebenar. Saat itu Arman dapat tahu rahsia Kilina. Kalau rahsia itu bocor, Kilina dan bayi dalam perutnya akan mati di potong-potong Gindarom.

Arman setuju tolong Kilina mengaku jadi suaminya demi bayi Kilina. Selepas seminggu, Arman pun tinggalkan rumah panjang. Tasha membuat panggilan dari Kuala Lumpur memberi tahu, Hajah Rohana sudah keluar wad dan esok mereka mahu ke Simpang Mangayau. Hajah Rohana tidak sabar bertemu menantunya.

Arman yang tidak pernah menghampakan neneknya berpatah balik ke rumah panjang untuk mndapatkan pertolongan Kilina agar berlakon jadi isterinya. Konflik semakin bertimpa-timpa yang akhirnya membawa Arman dan Kilina ke satu masalah besar di Simpang Mangayau iaitu isu ‘Tanah Adat’.

Saksikan siarannya di saluran Okey atau boleh menonton secara percuma dimana-mana sahaja menerusi RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my).