KUALA LUMPUR – Enam peserta terbaik diumumkan menempah tempat ke peringkat Separuh Akhir di Kuching, Sarawak pada September depan dalam saingan Debaran Bintang Kecil Semenanjung 2024 berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Sabtu lalu.
Mereka yang terpilih masing-masing ialah Puteri Azalia binti Mohd Taufik dari Perlis, Nur Ayu Raudhah binti Mohd Khaimi (Negeri Sembilan), Cinta Suci Indah Urmilla binti Abdullah (Johor), Megat Muhammad Qalif bin Megat Shazrin (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Nufarina Farha Abdul Zahir (Selangor), dan Ahmad Dhani Muslim bin Mohd Nazri (Terengganu).
Lagu ‘Darah’ nyanyian Azalia berjaya meloloskan diri untuk dipilih ke peringkat separuh akhir, manakala Ayu Raudhah pula bertuah dengan penyampaian terbaik lagu rancak Kesal, nyanyian asal Ella. Sementara itu suara Cinta Suci menerusi lagu Kabut Serangkai Mawar, Megat Muhammad mendendangkan lagu Sutera, Nufarina Farha sampaikan lagu Gemilang dan Ahmad Dhani dengan lagu Drama milik Drama Band turut layak terpilih.Â
Kesemua mereka berjaya memikat hati juri terdiri daripada YM Raja Mohd Sham Raja Saari selaku Ketua Juri, komposer Shazee Ishak dan pelakon, Che Kem pada pertandingan yang disiarkan menerusi TV2, Radio NASIONALfm, RTMKlik dan Facebook NASIONALfm.
Enam peserta ini menerima hadiah wang tunai RM5,000.00, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan setiap seorang manakala baki enam peserta yang terkandas turut membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai RM2,000.00, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan.
Turut bertanding enam lagi peserta iaitu Nur Qiesha Adelia binti Amirul Aliff (Pulau Pinang), Muhammad Zayyad Darwisy bin Muhammad Yusree (Kedah), Nur Aisy Aisyah binti Mohd Azmi (Kelantan), Adam Syahmi bin Mohd Faizul Hafiz (Pahang), Nur Khayla Erynna binti Muhammad Khairi (Perak) dan Elmarissa An Nasyrah binti Aznan (Melaka).
Debaran Bintang Kecil Zon Semenanjung yang diselaraskan oleh NASIONALfm menggandingkan Sean Lee dan Dyya Nawai sebagai pengacara ini turut menyaksikan persembahan menghiburkan artis jemputan Haqiem Rusli, Nabila Razali, dan Akmar Natasha.Â
Pertandingan Bintang Kecil diperkenalkan di Sarawak sebelum diperluaskan ke peringkat Kebangsaan dengan penyertaan dari Semenanjung dan Sabah. Impaknya membawa manfaat besar terhadap industri seni tanah air sehingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Recordsuntuk The Longest Production and Broadcast of Children Singing Competition on Radio.