October 16, 2024

Setelah kejayaan penganjuran Kotak Muzik Kita di Galasa Caldwell, Ipoh pada tahun lalu serta siri jelajah Pentas Healing bersama komuniti Gamon Society ke beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Melaka, Fuse Creative Digital Media kini mempersembahkan satu lagi acara muzik yang dinanti-nantikan, Asmara Loka. Acara ini dijadualkan berlangsung pada 9 November 2024 di Ipoh Convention Centre, Perak.

Dengan membawa konsep acara muzik indoor yang intim dan eksklusif, Asmara Loka menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti 6ixthsense, Insomniacks, Drama Band, dan Aizat Amdan. Acara ini bertujuan untuk menarik minat penggemar muzik tempatan yang mengikuti trend Galau dan Healing yang sedang popular di platform media sosial seperti TikTok, Facebook, dan Instagram. Lebih menarik, Asmara Loka mensasarkan golongan muda yang menggemari muzik tempatan dan menikmati pengalaman konsert yang lebih dekat dengan artis kegemaran mereka.

Acara ini juga bertepatan dengan kempen Tourism Perak iaitu Travel to Perak 2024, sebagai usaha mempromosikan bandar Ipoh yang telah diiktiraf sebagai Creative City of Music oleh UNESCO. Dengan penganjuran Asmara Loka, Fuse Creative Digital Media berharap dapat menarik minat belia dari seluruh negara untuk berkunjung ke Perak sekaligus menyokong sektor pelancongan negeri ini.

Acara Muzik yang Diharap Jadi Mercu Tanda

Pengarah projek Asmara Loka, Syahril Husny, atau lebih dikenali sebagai Aril, mengulas kepentingan acara ini sebagai platform yang bukan hanya sekadar hiburan, tetapi juga sebagai pencetus kepada perkembangan industri muzik tempatan.

“Saya sebagai wakil daripada FUSE berharap Asmara Loka bukan sahaja menjadi platform untuk memperkenalkan bakat-bakat hebat tanah air, tetapi juga sebagai satu titik pertemuan bagi penggemar muzik yang menghargai dan menikmati trend muzik semasa,” jelas beliau.

Beliau turut menambah bahawa acara ini berpotensi menjadi mercu tanda dalam kalendar muzik Malaysia, sambil membawa impak positif kepada industri pelancongan dan ekonomi setempat.

Tiket Online Laris, Tiket Combo Kini Diperkenalkan

Sejak 6 Ogos 2024, tiket untuk Asmara Loka telah mula dijual di laman sesawang www.ticket2u.com.my. Terdapat dua kategori tiket yang ditawarkan:

  • Zona Patah Hati dengan harga RM98, dan
  • Zona Mati Rasa dengan harga RM128.

Menurut laporan terkini, 60% tiket telah terjual dalam masa kurang dari dua bulan.

Menjawab permintaan ramai daripada kalangan komuniti muzik, pihak penganjur kini memperkenalkan tiket combo untuk kategori Zona Patah Hati, termasuk:

  • Tiket Duo berharga RM226 untuk dua orang, dan
  • Tiket Kumpulan berharga RM432 untuk empat orang.

Jualan untuk tiket combo ini akan bermula pada 11 Oktober 2024. Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa harga yang dinyatakan tidak termasuk caj pemprosesan.

Dengan barisan artis yang berkaliber dan konsep yang segar, Asmara Loka dijangka menjadi acara yang mampu mengukuhkan lagi reputasi Ipoh sebagai hab muzik kreatif serta menarik minat pelancong dan peminat muzik dari seluruh negara.