October 16, 2024

KUALA LUMPUR – Senarai lima teratas (Top 5) bagi setiap kategori Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2024 anjuran Kementerian Komunikasi yang memberikan pengiktirafan kepada penggiat industri kreatif penyiaran telah pun disenarai pendek hasil penilaian juri profesional yang dilantik.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya melepasi 124 pencalonan daripada 60 buah kategori dipertandingkan iaitu 40 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio dan empat kategori media baharu termasuk Podcast Terbaik. 

ASA yang diadakan dua tahun sekali ini turut menawarkan dua kategori khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa yang bakal diumumkan pada malam kemuncak nanti menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 62 kategori.

Daripada jumlah tersebut, 104 pencalonan terdiri daripada kakitangan RTM manakala 20 lagi pencalonan daripada syarikat swasta yang disiarkan menerusi saluran RTM.

ASA 2024 menyaksikan RTM mengungguli senarai lima calon akhir dalam kategori Rancangan Sukan TV Terbaik iaitu Azmawani Hassan, program Apa Khabar Jaguh episod 10, Fariz Zulkepley (Jom Dive episod 1),Jabir Shafiee / Unit Sukan TV (Akhir- TM Piala Malaysia, Kuala Lumpur, Johor Darul Takzim), Saliza Ibrahim (Aksi 2023 – Oceanman Redang 2023) dan Saliza Ibrahim (Jiwa Juara – Satu Impian Sejuta Harapan).

Kategori Hiburan Radio Terbaik juga menyaksikan lima calon akhir daripada RTM iaitu Liang Kim Loong (AiFM), rancangan Melodi Nostalgia: Tribute P.Ramlee, Noorashila Ashura (KLfm) iaitu Pertandingan Akhir Bintang Kecil 2023 Peringkat Semenanjung, Hafizah Rosli (Mutiara FM) program Akustika Aidiladha, Nur Aini Sulong (Terengganu FM) program Drama Muzikal “Sapu Lori Malam Raya”, dan Norazura Abdul Ghani (TRAXXfm) program Spooky Tales.

Kakitangan RTM yang tercalon lebih dari satu kategori antaranya Mohammed Shahril Bin Sarapudin dan Jabir Shafiee. Mohammed Shahril Bin Sarapudin tercalon dalam kategori Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik, dan Pengulas TV Terbaik. Manakala Jabir Shafiee

bertanding dalam kategori Rancangan Sukan TV Terbaik, Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik dan Liputan Sukan TV Terbaik. Sementara itu Hasmahani Binti Abdul Hanipah pula tercalon dalam kategori Audio Rancangan TV Terbaik dan Pengimbangan Muzik TV Terbaik.

Lebih menarik, ada juga kategori yang mengetengahkan nama calon sama tapi dalam karya yang berbeza. Muhamad Fadhli Muhamad Salleh tercalon dalam kategori PSA & Kapsul TV Terbaik iaitu Kapsul Khas Hari Malaysia 2023: Harapan & Masa Depan dan Kapsul Hari Kebangsaan 2023: Rukun Negara Malaysia, dan Mohd Ismawardi Ismail (Tatarias TV Terbaik: Drama Jabat Erat-Erat dan Durjana Pujaan). 

Dua lagi calon iaitu Rashidah Ali (Hiburan Muzikal TV Terbaik: Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 dan Pertandingan Akhir Dikir Barat 2022) dan Saliza Ibrahim (Rancangan Sukan TV Terbaik: Aksi 2023 – Oceanman Redang 2023 dan Jiwa Juara – Satu Impian Sejuta Harapan). 

Persaingan hebat turut diberikan untuk karya terbitan swasta dengan mendapat enam pencalonan iaitu drama bertajuk Bahalol yang bertanding dalam kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Wanita Drama TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, dan Penataan Cahaya TV Terbaik. 

Begitu juga drama Pasir Putih Mantanani terbitan Unit Drama TV RTM tercalon dalam empat kategori iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Penataan Cahaya TV Terbaik, dan Tatarias TV Terbaik.

Dengan adanya ASA 2024 ini, ia bukan sahaja dapat mengiktiraf dan memartabatkan industri penyiaran tanah air malah memberi inspirasi kepada kakitangan RTM agar terus berkhidmat dan memberi impak positif kepada masyarakat.