January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Selepas tiga dekad mengangkat martabat muzik underground tempatan, kumpulan Eastern Oi! ikonik, A.C.A.B, menamatkan perjalanan mereka melalui sebuah konsert perpisahan penuh emosi yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 21 Disember 2024.

Dianjurkan oleh A.C.A.B Productions, konsert ini bukan sahaja menampilkan barisan anggota terkini, tetapi turut membawa peminat menyusuri nostalgia dengan kehadiran ahli asal kumpulan tersebut. Acara dimulakan dengan persembahan bertenaga oleh band undangan dari Eropah, Haymaker, yang menghangatkan suasana.

Anggota A.C.A.B yang terkini

Peminat Berkumpul Seawal Petang

Seawal petang, peminat setia Skinhead dan Oi! membanjiri ruang legar Zepp Kuala Lumpur, tidak sabar untuk menyaksikan persembahan terakhir A.C.A.B. Ramai yang hadir mengenakan pakaian ikonik era Skinhead – but Dr. Martens, seluar jeans, dan jaket – sesuai dengan tema “Bring Back The Bootboys” yang mengimbau kegemilangan kumpulan itu pada era 1994-1995.

Pentas mula dihidupkan oleh Haymaker, yang menyampaikan lapan lagu dengan penuh bertenaga, membuatkan penonton tidak henti menari mengikuti alunan muzik yang menghentak jiwa.

Haymaker

Gabungan Nostalgia dan Energi Baharu

A.C.A.B, yang kini dianggotai oleh Megat Hafiz (vokal/gitar), Edy J. Herwan (gitar), Andy (bass), dan Zul (dram), membuka persembahan dengan lagu-lagu ikonik mereka seperti Skintro, We Are The Skins, dan We Are A.C.A.B.

Namun, saat paling dinantikan tiba apabila kumpulan ini mengundang kembali barisan asal mereka, Hardy Sham (bass) dan Black (dram), ke pentas. Bersama-sama, mereka membawakan lagu-lagu dari album pertama seperti Unfairground, Somebody’s Song, dan City Girl dalam susunan medley.

Anggota A.C.A.B yang terawal

“Aku rasa macam semalam aku dan Edy baru keluar dari band Sex And Violent untuk menubuhkan band Oi! pertama di Malaysia. Hardy Sham dan Black adalah dua orang pertama yang kami jemput untuk sertai A.C.A.B pada tahun 1994. Siapa sangka 30 tahun yang lepas empat orang inilah yang memulakan semuanya dan pengakhiran selepas 30 tahun akan bersama semula.” Ujar Megat, disambut sorakan gemuruh peminat.

Seterusnya, mereka mempersembahkan medley lagu seperti Bookies, Skinhead, A.C.A.B, dan Fight For Your Rights, menghidupkan memori peminat lama yang setia bersama kumpulan ini sejak awal penubuhannya.

Insiden Cemas di Pentas

Di sebalik kemeriahan konsert, suasana bertukar cemas apabila pemain dram terkini, Zul, tiba-tiba rebah akibat serangan jantung. Tindakan pantas pasukan perubatan memastikan Zul berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pemain dram A.C.A.B, Zul

Persembahan diteruskan dengan posisi dram diambil alih oleh Irfan, yang pernah terlibat dalam album This Is The A.C.A.B. (2006), bersama pemain bass Mono yang turut tampil dalam konsert akhir ini.

Irfan dan Mono

37 Lagu Menggegarkan Zepp Kuala Lumpur

Keseluruhan malam menyaksikan A.C.A.B menyampaikan 37 lagu, termasuk 18 lagu dalam format medley. Antara lagu yang dipersembahkan ialah Streets of Uptown, Bangun, Hasutan Syaitan, Genggam, dan We Are The Youth, menggamit kenangan peminat terhadap perjalanan kumpulan ini yang penuh warna-warni.

Lagu dari album kedua mereka, Skinhead 4 Life, yang pernah mencatatkan 4,000 jualan dalam sebulan, turut dipersembahkan dengan penuh semangat bersama Haymaker.

Penutup konsert menjadi kemuncak apabila A.C.A.B membawakan lagu ikonik Where Have All The Bootboys Gone?, membuatkan seluruh dewan bergema dengan nyanyian dan ada juga di antara penonton yang melakukan mosh pit, kelihatan masing-masing enjoy meskipun rata-rata yang hadir sudah melangkaui usia 30an.

Akhir Sebuah Legasi

Dihadiri lebih 2,400 peminat, konsert ini bukan sahaja menutup perjalanan 30 tahun A.C.A.B, tetapi juga mencipta sejarah sebagai antara konsert paling bermakna dalam arena muzik underground tanah air.

Bagi peminat setia, malam tersebut akan terus dikenang sebagai penghormatan terakhir kepada sebuah kumpulan yang berjaya memartabatkan muzik Eastern Oi! di Malaysia dan meninggalkan legasi yang sukar dilupakan.

Kredit Foto: kelkatu TV & Papa Din