November 13, 2024

KUALA LUMPUR – 2024 bakal menyaksikan dua legenda muzik underground bertembung di Kuala Lumpur! Clash of the Titans akan mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur mempertaruhkan Godfathers of Oi!, A.C.A.B dengan gamechanger Thrash Metal, Cromok menyatukan dua aliran muzik berbeza dalam satu show yang pasti diingati semua penggemar irama underground tempatan.

Clash of the Titans anjuran A.C.A.B Productions ini bakal berlangsung 9 Mac 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur mulai jam 8 malam. Konsert yang meraikan kedua-dua ikon muzik underground tempatan ini akan menjadi sejarah penting scene muzik tempatan kerana A.C.A.B dan Cromok masing-masing memainkan seleksi lagu-lagu terbaik daripada diskografi mereka sepanjang bergerak aktif. 

Vokalis dan gitaris A.C.A.B, Max Mohammad, juga pencetus idea Clash of the Titans (bersama Karl Cromok) berkata, “Masa showcase Bangun, aku nampak bukan setakat skinheads dan punks hadir, tapi juga peminat muzik lain dan surprisingly, metalheads ada sekali! Jadi kenapa tak gabungkan sekali dua aliran ni dalam show akan datang, kan? Aku ada terjumpa Karl Cromok di Timeless Studio kemudian kongsikan idea ni dekat dia dan lahirlah idea Clash of the Titans. Tapi ni jugak adalah satu simbolik yang walaupun muzik berbeza, kita tetap boleh enjoy bersama. Aku harap konsert ni kita sama-sama pogo dan headbang di Zepp sepuasnya!”

Karl, gitaris Cromok turut berkongsi keterujaan beliau, “Pertama kali Cromok akan collab dengan different music genre Thrash Metal + Street Punk. Something interesting yang tak pernah lagi diadakan. Cromok akan main lagu A.C.A.B. Semestinya A.C.A.B akan main lagu Cromok. Nak tau macam mana agaknya bunyi bila band-band ni trade lagu? Kena datang tengok sendiri! Satu lagi, Cromok akan main lagu yang tak pernah lagi dimainkan secara LIVE. So kalau nak tau lagu apa? hah! datanglah ke Clash of the Titans!”

Tiket ROCK ZONE RM230, FREE STANDING RM180 & NORMAL SEATS RM250 dan merchandise rasmi Clash of the Titans seperti t-shirtlanyard & card dan guitar pick boleh dibeli di www.acabproductions.com. Tiket PREMIUM SEATS dan VIP BOX telah pun habis dijual.

Untuk info, A.C.A.B adalah sejarah unit Oi!/Street Rock Kuala Lumpur bertaraf legenda bermula pada 1994 oleh Max Mohammad dan Edy J. Herwan. Bermula daripada demo ‘95 yang keluar melalui Bovver Brigade Records pada 1995, A.C.A.B tidak menoleh ke belakang lagi dengan keluaran-keluaran seperti Eastern Oi! dan Skinhead 4 Life yang mengubah landskap muzik Oi!/Punk tempatan selain mempengaruhi selera muzik ribuan anak-anak muda.

Muzik A.C.A.B  bermula dengan Oi!/Street Rock/Ska kemudian menyelitkan pengaruh Heavy Metal menjelang era Orang Timur dan Bangun serta menerima pengaruh Indie Rock pada album terakhir mereka (dikenali sebagai The A.C.A.B). 

Selain Max Mohammad dan Edy J. Herwan (gitar), A.C.A.B dibarisi oleh Zeezul Fitri (drum) serta Andy Floop Poppy sebagai pemain bass jemputan.

Cromok ditubuhkan oleh 3 kawan universiti; Sam (bass/vokal), Karl (gitar), Din (gitar) dan Miji (dram) sewaktu di Australia sekitar pertengahan 1980-an. Cromok antara kumpulan Thrash Metal tempatan terawal yang telah menempa nama di luar negara.

Cromok dikenali melalui sound Thrash Metal mereka yang garang tetapi bermelodik diadun dengan elemen tradisional Melayu yang mereka panggil Thrashditional. Melalui album-album mereka seperti Image of PurityForever in TimeYours Truly dan banyak lagi, Cromok sepanjang hampir 4 dekad telah membentuk stail Thrash Metal yang unik dalam mempengaruhi band-band dari dalam dan luar negara dan terus menjadi ikon kepada anak-anak Metal tempatan.

Terkini, Cromok telah dianggotai oleh Sam (Vokal / Bass), Karl (gitar utama), Shah (gitar kedua) dan Apis, pemain dram baharu menggantikan pemain dram asal, Miji, yang telah mengundurkan diri atas faktor kesihatan.