February 16, 2025

PETALING JAYA, 22 OKTOBER 2024 – Kumpulan Eastern Oi! tersohor A.C.A.B yang telah mengangkat martabat muzik underground tempatan selama 30 tahun bakal mengakhiri perjalanan mereka dengan konsert perpisahan di Zepp KL pada 21 Disember ini.

Konsert bertajuk “Bring Back The Bootboys” itu akan berlangsung selama tiga jam bermula 7.45 malam di bawah anjuran A.C.A.B Productions, meraikan tiga dekad legasi kumpulan yang digelar “Godfather of Malaysian Oi!” ini.

Bermula sebagai kumpulan Oi! dari Kuala Lumpur, A.C.A.B bukan sekadar menjadi inspirasi kepada kumpulan segenerasi, malah turut mempengaruhi kumpulan-kumpulan di luar Malaysia melalui eksperimentasi mereka dengan genre Heavy Metal dan Indie Rock.

Vokalis dan gitaris A.C.A.B, Max Mohammad berkata, pembubaran kumpulan itu meninggalkan kesan mendalam kepada semua ahli yang telah bergelumang dalam muzik Eastern Oi! sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Memang sesuatu yang menyedihkan sebab akan berpisah dengan peminat A.C.A.B yang sudah menyokong kita selama 30 tahun,” katanya ketika ditemui dalam sidang media petang tadi, bertempat di Timeless Studio, Damansara Perdana.

Konsert perpisahan ini akan menampilkan barisan pemuzik original semasa penubuhan dan barisan terkini, termasuk beberapa bekas ahli kumpulan. Kumpulan Haymaker dari Eropah yang pernah mempopularkan versi cover ‘Skinhead 4 Life’ turut dijemput sebagai pembuka konsert.

Penganjur turut menggalakkan peminat untuk berpakaian mengikut era 90-an sempena tema ‘Bring Back The Bootboys’, mengimbau zaman kegemilangan A.C.A.B sekitar 1994-95.

“Ianya untuk mengimbau kembali kenangan 90-an di mana A.C.A.B bermula dahulu dan begitu juga yang kita nak bila A.C.A.B berakhir dengan style ‘Bring Back The Bootboys’,” jelas Max.

Sempena konsert perpisahan ini, Max turut akan melancarkan buku biografi tulisan beliau bertajuk ‘The Untold Story Of A.C.A.B’ yang menyingkap kisah-kisah perjalanan kumpulan itu yang belum pernah didedahkan di mana-mana media.

A.C.A.B akan membawakan 37 lagu merangkumi kesemua terbitan mereka termasuk Demo ’95, single ‘We Are The Skins’, ‘Streets Of Uptown’, EP ‘Unite & Fight’, ‘Anti-Racist’, album ‘Eastern Oi!’, ‘Skinhead 4 Life’, ‘Bangun’ dan ‘Demonstration ’95 Revisited’.

Menurut Max, A.C.A.B telah mencapai matlamat dalam arena muzik tempatan dengan menyatukan pendengar daripada pelbagai latar belakang termasuk peminat Skinheads, Punk, Mods, Heavy Metal dan arus perdana.

Tiket konsert tersebut dilaporkan hampir habis terjual dengan hanya tiket CAT 2 masih boleh didapati dalam jumlah terhad melalui laman web www.myticketempire.com/acabfinalconcert.