January 14, 2025

KUALA LUMPUR – Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku‘ anjuran syarikat penganjur terkemuka negara, Orange International Entertainment mencatat sejarah baharu apabila sembilan penyanyi wanita kelahiran Sabah, Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah dan Wani Kayrie berjaya memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur pada 30 November 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, melahirkan rasa bangga atas kejayaan konsert tersebut.

“Malam ini adalah bukti kehebatan bakat kelahiran Sabah yang telah mencipta nama di persada muzik tanah air. Sambutan hangat daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk kesemua artis yang terlibat,” kata Dato’ Fadzli.

Kesembilan-sembilan artis terkenal tersebut berpadu hati di atas satu pentas, menghidangkan persembahan yang luar biasa. Dengan alunan suara yang memukau serta keunikan gaya setiap artis, malam tersebut menjadi suatu pengalaman yang penuh emosi, hiburan, dan nostalgia bagi para peminat yang hadir.

Malam konsert dibuka dengan persembahan bertenaga dari kesemua artis menyanyikan lagu ‘Sumandak Sabah’ yang menerima sorakan gemuruh memecah keheningan dewan.

Kemudian, Wani Kayrie tampil menyanyikan lagu ‘Aiman Tino’ yang viral dengan aksinya tersendiri. Persembahan disusuli oleh Ayu Damit dengan lagu ‘Hanya Di Mercu’ yang mengembalikan nostalgia ketika dia menjuarai pertandingan realiti ‘One In A Million’ musim ke-2 hampir dua dekad yang lalu. Marsha Milan pula menyerlah dengan lagu wajibnya, ‘Cinta’ yang meraih kedudukan naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Manakala duo adik-beradik genit, Bella dan Didi Astillah, membuktikan bakat generasi muda Sabah tidak kurang hebatnya mempamerkan lagu ‘Bermanja-manja’ bersama, diikuti Bella secara solo menyanyikan lagu hit ‘Tapi Bukan Denganmu’ dengan penuh emosi.

Persembahan terus hangat dengan penampilan Nikki Palikat bersama Adira Suhaimi dan Ayu membawakan bersama lagu ‘Drama’ dengan aksi yang mempesonakan.

Tidak ketinggalan, juara ‘Mentor’ musim ke-5, Salma mempersembahkan lagu ‘Aku Permata’, diikuti Adira menghiburkan penonton dengan lagu popularnya ‘Pujaan Hati’, dan akhirnya, ‘Queen of Soul’, Azharina memukau penonton dengan vokalnya yang padu melalui lagu ‘Rawan’, ‘Seandainya’ dan ‘Elegi Sepi’.

Sebagai kejutan istimewa, kesemua artis bergabung di akhir acara untuk menyanyikan sebuah medley lagu ‘Anak Kampung’ dan ‘Original Sabahan’, mencetuskan suasana penuh keakraban dan nostalgia di kalangan mereka.

Dato’ Fadzli menzahirkan rasa optimis mengenai masa depan Orange International, katanya, “Kami sentiasa mencari cara untuk mempersembahkan hiburan yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga bermakna.”

Konsert ini turut di meriahkan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, mendapat sambutan luar biasa peminat dari Sabah mahupun Semenanjung. Orange International ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah yang sudi menghadiri dari Sabah hanya untuk acara ini. Terima kasih juga kepada semua peminat peminat yang hadir memberi sokongan dari Malaysia , Singapura dan juga Brunei.

Juga di sokong oleh Kementerian Pelancongan Seni & Budaya, konsert ini akan di lanjutkan ke negeri Sabah pula pada tahun depan.

“Selepas kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang akan menampilkan gabungan artis dari pelbagai latar belakang dan genre, demi memberikan pengalaman muzik yang pelbagai kepada peminat di seluruh negara.”

Kejayaan konsert ini sekali lagi membuktikan komitmen Orange International Entertainment dalam menyediakan platform untuk mempersembahkan muzik berkualiti serta menghimpunkan rakyat Malaysia & serantau dalam satu semangat kesatuan melalui seni.

Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat atas kejayaan ini!