December 6, 2024

KUALA LUMPUR – Penyanyi rap Singapura ABANGSAPAU melancarkan lagu terbaharunya ‘Cahaya’, yang juga karya tulisan sulungnya untuk tahun 2023 selepas muncul dengan, ‘ice lemon tea freestyle’ Februari lalu.

Dalam ‘Cahaya’, ABANGSAPAU menyelami keperibadian – kali ini ia berpaksikan perayaan Aidilfitri, waktu suci yang mengingatkan umat Islam bahawa pengorbanan, cabaran serta keimanan melengkapi kehidupan yang sempurna. Ia merupakan waktu untuk merenung kembali : mengamalkan kesederhanaan walau bagaimana berjaya sekali pun di dalam hidup dan menghargai mereka yang dekat di hati.

Cahaya’ melencong dari apa yang sering ABANGSAPAU paparkan dalam muziknya yang sarat dengan dentuman dram trap dan sebagainya. Ia turut menampilkan bintang hip-hop ini beraksi dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Memenuhi ruang muziknya adalah alunan piano yang indah, perlahan-lahan meningkat menjadi makin hebat sepanjang lagu. Kali ini ia diterbitkan oleh rakan baiknya Prodbydan, bersama sumbangan ahli muzik lain iaitu Akid Amir, Lucas Tee dan Ruben Lee.

Ada juga iringan gitar akustik menemani ABANGSAPAU, yang mendendangkan singkatnya kehidupan – sambil merenung bahawa ibubapanya tidak akan selamanya berada di sisi. Ayahnya yang beliau abadikan dalam karya berjudul ‘Boyhood’ pada tahun 2022, telah meninggal dunia bersama beberapa ayah saudara serta datuk dan neneknya. Ibunya semakin tua. Kemudiannya semakin menghilang. ‘Cahaya’ mungkin meraikan Aidilfitri, namun ia tetap sayu tanpa ragu.

Abangsapau

Sungguhpun begitu, sempena Aidilfitri, dia juga menyanyi tentang belas kasihan dan kesyukuran lewat bait-bait lirik berikut. “Bila ku tutup mata / Ku teringat masa / Yang sudah terlepas / Ku dah banyak berdosa / Tapi mama pesan / Ingat masa depan / Jawapan ku cari / Selama masa ni / Berada di depan mukaku.”

Untuk mengingati kematian dan kehilangan. Ulasnya: “Pengajaran dan pengalaman dalam memperbaiki kesilapan melalui kesedihan dan kemurungan beberapa tahun lalu telah memberi perspektif baru dalam hidupnya.

Tambahnya, sebagai seorang pemuzik dan manusia, dia kini lebih fokus dan mempunyai niat jelas dalam mengerjakan sesuatu – sebagai contoh, menyalurkan segala kesakitan dan kesedihan ke dalam sebuah lagu seperti ‘Cahaya’ yang memberikan ketenangan buat mereka yang pernah melalui kehilangan serupa. Video muzik lagu ini arahan Shahrin Bahar, juga akan berada di YouTube Abangsapau.

Selepas meneroka sisi baru dalam pengkaryaan seninya, ABANGSAPAU tidak sabar untuk melalui tahun baru ini dengan daya kreativiti yang lebih segar – beliau yakin 2023 akan menjadi tahun dengan lebih banyak karya baharu daripada ABANGSAPAU berbanding dua tahun sebelumnya, malah dia mahu menggalakkan para pendengar untuk bermimpi lebih jauh dari apa yang pernah mereka bayangkan buat diri masing-masing.

Beliau menekankan definisi tujuan menjadi artis: Kesemua penerokaan ini dilakukan dengan tujuan untuk meluahkan suara peribadi. Saya tidak mahu menjadi versatil semata-mata tanpa tujuan.

Karya terbaharu dari ABANGSAPAU ini adalah kolaborasi bersama antara Def Jam Recordings Singapore dan Malaysia.

Cahaya’ kini boleh distrim di semua wadah digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music. Klip video ‘Cahaya’ boleh ditonton di saluran YouTube ABANGSAPAU.

Cahaya (Official MV)