November 13, 2024

Dikatakan menjadi mangsa fesyen setiap kali memperagakan atau menghadiri acara-acara majlis, penyanyi Adami Hairi sekali lagi mencetuskan bualan di kalangan netizen di media sosial. Tidak sesekali melenting mahupun berang dengan reaksi orang ramai, Adami mengatakan selagi apa yang digayakan itu tidak keterlaluan dan melampaui batas, beliau akan meneruskan sahaja kerana menurutnya itu adalah lumrah dalam berfesyen dan ianya adalah hak individu dalam berfesyen serta mengikut kehendak diri sendiri.

Adami senantiasa berbangga dan menghargai setiap busana yang diperagakan dari pelbagai pereka fesyen.

Adami Hairi

“Saya juga rasa berbesar hati kerana mereka (pereka) ini jugalah yang banyak memberi idea untuk apa sahaja pakaian yang akan saya peragakan atas diri saya, sedikit sebanyak dapat juga saya belajar cara untuk berfesyen, mungkin ini amat penting untuk saya di masa akan datang sebab dalam menyanyi juga serba sedikit kita kena belajar untuk bergaya,” ujarnya.

Terdahulu, Adami ditegur kerana terlalu berlainan dengan dirinya sebelum ini, dianggap terlalu sexy dalam menggayakan fesyen yang ditonjolkan.

Dalam pada itu, Adami menyuarakan bahawa berfesyen adalah hak setiap individu dan mereka ada pilihan sendiri dalam memilih setiap busana yang hendak diletakkan atas badan sendiri.

Adami Hairi

Sementara itu, Adami turut menjelaskan beliau hanya menampilkan gaya fesyen yang dianggap berlebihan disebabkan tuntutan tugasnya.

“Kalau diluar memang tidak sebegitu, kebiasaanya hanya untuk sesi fotografi sahaja, dan biasanya saya akan berbincang terlebih awal bersama pihak produksi sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Namun ada juga pelbagai reaksi yang saya terima, ada yang positif dan ada yang negatif. Saya akan mengambil perkara ini dari sudut yang positif asalkan saya tahu apa yang saya tampilkan untuk diri saya dalam menggayakan fesyen.” Kata pelantun lagu Angauku Mekar.