January 13, 2025

KUALA LUMPUR : Walaupun sudah berkecimpung hampir empat tahun di dalam industri muzik, namun penyanyi yang dikenali sebagai Adami Hairi, 31, akur dengan perjalanan kariernya disebabkan masih ramai yang belum tahu akan kehadirannya dalam industri.

Walaupun masih belum dikenali ramai, beliau masih bergiat aktif dan menerima undangan nyanyian di majlis-majlis keramaian serta karnival bagi menghiburkan peminat dan penonton di setiap persembahannya.

Terbaharu beliau muncul dengan single berjudul Legato, perkataan yang diambil dari bahasa Itali yang bermaksud kelembutan. Lagu ciptaan dan ditulis oleh Rosli Ahmad berunsurkan catchy serta bergenre pop menjadikan lagu ini lebih dekat dan lebih santai untuk didengari.

Adami berasa terharu apabila diberi kepercayaan oleh pencipta lagu disebabkan kemampuan beliau untuk membawa lagu ini sebaik mungkin.

“Saya percaya atas kemampuan saya membawa lagu ini dengan cara saya yang tersendiri dan Alhamdulillah lagu ini telah diterima ramai.” Katanya.

Adami Hairi muncul dengan single terbaharu berjudul ‘Legato’

Lagu ini dihasilkan penghujung 2021 dan dilancarkan secara rasmi pada April 2022. Namun disebabkan peralihan fasa pandemik ke endemik, promosi Legato terpaksa ditangguhkan buat sementara.  

“Alhamdulillah, Legato telah diterima oleh pendengar dan lagu ini juga pernah berada dalam carta radio melaka.fm serta pernah menjadi juara carta.

“Lagu Legato ini menceritakan tentang seorang lelaki yang berjumpa dengan seseorang wanita telah membuatkan hatinya terasa sangat ingin berkenalan,” ujar Adami.

Rakaman lagu Legato ini begitu mencabar buat penyanyi berasal dari Negeri Melaka ini. Beliau mengakui lagu ini sangat laju dan genre yang dibawa ini berada di luar petak zon keselesaannya. Penggambaran video muzik (MV) lagu ini juga mencabar disebabkan beliau perlu menari mengikut rentak lagu yang dimainkan.

“Lagu ini sangat mencabar buat diri saya kerana lagu ini sangat fast dan genrenya pula diluar dari petak zon keselesaan saya, namun ini adalah satu cabaran buat diri saya.” Kata Adami lagi.

Adami yang bernaung di bawah label RRS production berharap ada pihak yang sudi mengundangnya untuk membuat persembahan nyanyian di pelbagai majlis yang dianjurkan.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang telah mendengarkan lagu ini dan menjadi harapan saya agar lagu Legato ini diterima oleh pendengar-pendengar yang masih belum lagi mendengar lagu ini. Semoga lagu ini akan mendapat tempat di hati pendengar dan peminat. Saya juga berharap semoga perjalanan saya dalam industri seni ini lebih luas lagi dan dapat mewarnai industri muzik Malaysia” Ujar Adami mengakhiri perbualan.

Bagi peminat yang ingin mengetahui perjalan atau aktiviti seni Adami, boleh ikuti di Instagram rasmi milik beliau iaitu adami_hairi.

Lagu Legato kini telah berada di semua digital platform dan video muzik rasmi lagu ini juga telah berada di saluran Youtube Radikal Record studio Production.

Adami Hairi – Legato (Official Music Video)