December 6, 2024

(Oleh: Fenriz Shamudin)

Produksi untuk filem paling dinanti-nantikan, ‘Game of Life’ yang diinspirasikan dari dunia Mobile Legends telah dimulakan secara rasmi. Disebalik kisah perjalanan hidupnya sebagai pemain e-sukan sensasi tersohor negara, Soloz atau pemilik nama sebenar Muhammad Faris Zakaria, Key Billions Sdn Bhd telah mencetuskan ilham untuk menerbitkan sebuah filem terbaru dan yang pertama bertemakan e-sukan. 

‘Game of Life’ akan membawa penonton menyelami pengalaman Soloz dalam menempuh pelbagai cabaran sehingga berjaya menempa nama sebagai antara pemain professional terkenal lewat kancah permainan video mudah alih, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Meski terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran awal termasuk persepsi banyak pihak yang merasakan permainan video ini tiada masa depan sehinggalah menjadi lagenda dalam dunia permainan mudah alih. 

Inspirasi anak muda Malaysia

Mengisahkan ketabahan, kejayaan dan persaingan sengit antara TheBoss dengan sebuah pasukan dari Singapura iaitu Vengeance, ‘Game of Life’ menyerapkan pesan positif melalui nilai persahabatan, semangat kesukanan dan persaingan yang sihat kepada Soloz dan rakan-rakan sepasukannya. Kejayaan Soloz ini telah pun menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak-anak muda di Malaysia untuk terlibat dengan lebih serius dalam bidang e-sukan terutamanya MLBB.

Kos pembikinan sekitar RM8 juta

Filem yang menelan kos biasa sekitar RM8 juta ini dianggarkan akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Skop Productions memikul tanggungjawab sebagai pengedar rasmi manakala Frame Motion Studio turut berkolaborasi dari segi efek khas.

“Filem ‘Game of Life’ ini mempunyai potensi besar untuk menjadi filem tempatan yang berjaya.” ujar Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg Dato’ Kamil Othman yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang akhbar bertempat di Connexion Conference & Events Centre, Bangsar South pada 26 Mac 2024. “Saya yakin  kerana populariti permainan video mudah alih MLBB yang mencatat purata pemain seramai 5.2 juta orang sehari di seluruh dunia.”

Hun Haqeem terajui watak utama

Beliau juga telah menyempurnakan pelancaran rasmi filem ‘Game of Life’ petang itu, turut didampingi barisan pelakon yang membintangi filem tersebut iaitu Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Jiha Sham dan Hafeez Mikail. Bermulalah pengembaraan sinematik bersama satu pasukan pelakon hebat yang telah direkrut bagi menghidupkan kisah Soloz di skrin besar. Hun Haqeem bakal menerajui watak utama sebagai Soloz manakala Ikmal Amry akan mendukung watak antagonis, pertama kali buatnya untuk karektor lakonan di dalam filem. 

Filem arahan Syafiq Yusof

Bakal berada di bawah arahan sutradara Syafiq Yusof, cukup terkenal dengan karya-karya terdahulu seperti trilogi ‘Abang Long Fadil’ dan ‘Polis Evo 3’, Syafiq berkata, “Saya percaya filem yang terinspirasi dari kisah perjalanan hidup Soloz akan menggamit perhatian anak-anak muda dalam bidang gaming dan e-sukan. MLBB sangat popular bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia dengan jumlah muat turun global yang mencecah lebih daripada 1 billion.”

Key Billions telah memeterai penjanjian penggunaan hakcipta bersama pencipta permainan mudah alih MLBB, Moonton Games yang berpengkalan di Shanghai, China, sekaligus merealisasikan penghasilan filem ‘Game of Life’ ini. MLBB mencatat jumlah penonton melebihi 530 juta orang pada tahun 2023, berdasarkan statistik eSports Charts, menjadikannya permainan video mudah alih paling ramai ditonton tahun lepas.

Nama Soloz meningkat naik

Nama Soloz mulai meningkat naik apabila menceburi arena kompetitif Mobile Legends sejak 2017. Antara pencapaian Soloz dalam dunia penstriman langsung termasuklah Anugerah Pencipta Kandungan Facebook yang Paling Banyak Menerima Jumlah Tontonan di Malaysia yang dimenanginya pada Julai 2019 dan menerima pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai pemegang rekod yang mempunyai Pengikut Facebook (e-Sukan) Paling banyak pada Mei 2020.

Pupuk bakat di kalangan anak muda

Terkini di Malaysia sudah ada Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL Malaysia) yang merupakan liga professional Mobile Legends paling lama di Malaysia. Moontoon Games juga telah melancarkan MLBB Academy League Malaysia untuk memupuk bakat pemain pelapis di kalangan anak muda tempatan.

“Kerjasama ini bakal memberi kefahaman bahawa permainan eSports ini bukan sahaja satu permainan video bahkan ianya setara dengan apa saja permainan berbentuk sukan yang menyihatkan serta mampu menjana pendapatan tinggi.” ulas Yumi Wong selaku pemilik bersama Key Billions. Berdasarkan sumber butiran dari laman e-sukan eSports GG, jumlah pemain di seluruh dunia yang mencatat purata 85 juta orang setahun semenjak tahun 2021 sehingga 2023, memperlihatkan potensi tinggi untuk ‘Game of Life’ melonjak sehingga ke persada antarabangsa.

‘Game of Life’ dijangka bakal menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur selepas raya nanti dan disasarkan menemui penonton di pawagam seluruh negara pada pertengahan Januari 2025.