April 16, 2024
Afif Tirmizie dan Nikki Palikat bergabung hasilkan lagu tema untuk drama 'Takdir Itu Milik Aku'

KUALA LUMPUR – Pasangan duet Malaysia yang sedang melancarkan lagu “Dugaan Takdir Cinta” iaitu penyanyi lelaki, Afif Tirmizie yang terdahulu merupakan anggota kumpulan popular seperti The Fabulous Cats dan Nukilan, terus menorehkan nama dalam industri muzik. Manakala penyanyi perempuan pula, Nikki Palikat, yang dikenali melalui penampilannya yang memukau dalam program termasuk All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada tahun lalu. 

“Apabila saya dapat tahu akan menyanyikan lagu “Dugaan Takdir Cinta” bersama Nikki Palikat, saya sangat berasa teruja akan kolaborasi ini kerana kepakarannya dan kemahiran vokalnya menjadikan proses rakaman ini berjalan dengan lancar” Menurut Afif Tirmizie merupakan producer vokal dan penyanyi lelaki terhadap Nikki Palikat apabila mendapat tahu tentang pasangan duetnya.

Kali pertama bergabung

Buat pertama kalinya Afif Tirmizie dan Nikki Palikat bergabung menghasilkan Lagu “Dugaan Takdir Cinta” sebagai lagu tema untuk drama “Takdir Itu Milik Aku” yang dijangka memberi impak besar dalam drama tersebut. Bukan itu sahaja, ini juga merupakan gabungan pertama untuk Afif Tirmizie dan Nikki Palikat di dalam sebuah lagu yang merupakan pertanda permulaan yang bersejarah dalam perjalanan muzik mereka.

Nikki mengungkapkan rasa syukurnya kerana diberi peluang untuk berkolaborasi dalam projek yang bermakna ini. “Semestinya Nikki gembira dan berbesar hati dengan tawaran ini. Sudah lama Nikki tidak merakamkan sebuah lagu duet. Di sini Nikki ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih pada pihak produksi drama dan Sony Music Entertainment Malaysia atas kepercayaan ini. Dan Nikki juga berharap peminat-peminat akan suka dengan lagu terbaru ini.” katanya.

Diilhamkan dari penulis novel terkenal

Lagu “Dugaan Takdir Cinta” ini dilancarkan di bawah naungan terkemuka syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia. Selain itu lagu  “Dugaan Takdir Cinta” menerima perhatian khusus dan sentuhan istimewa daripada komposer berbakat, Ejai Aziz dan Kelana. Penerbit lagu ini juga tidak kurang hebatnya iaitu Rudy Nastia. Manakala liriknya yang mendalam, diilhamkan oleh penulis novel terkenal, Siti Rosmizah, yang juga berperanan sebagai penulis skrip dan penerbit untuk “Takdir Itu Milik Aku,” semestinya memberikan sentuhan emosi yang mendalam kepada lirik lagu ini.

Afif Tirmizie dan Nikki Palikat bergabung hasilkan lagu tema untuk drama 'Takdir Itu Milik Aku'

Nikki anggap lagu ini sangat unik

Selain itu, menurut Nikki Palikat lagu “Dugaan Takdir Cinta” memiliki makna yang tersendiri “Bagi Nikki, lagu ni unik kerana ia berbeza dengan lagu-lagu yang berunsur cinta yang lain. Lirik lagu ni menunjukkan ada prasangka yang wujud di antara pasangan yang bercinta. Meskipun mereka ditakdirkan bersama, namun dugaan tetap melanda.”

“Nikki sendiri pernah mengalami keadaan seperti ini, jadi lagu ini penuh makna. Apa yang menarik, Nikki juga sangat suka vokal Afif Tarmizi. Dalam peringkat demo pun, penghayatan dia tu luarbiasa, dan menjadikan proses rakaman begitu seronok bagi Nikki. Berkaryalah kami dalam studio tu hahaha.” Sambungnya lagi.

Walau bagaimanapun, proses menghasilkan lagu ini telah menghadapi beberapa cabaran semasa penghasilannya dari segi masa, pemilihan penyanyi dan sebagainya. Namun ia berjaya terhasil dengan meneparti pemintaan pelbagai pihak yang terlibat. 

Ikut citarasa pendengar pada masa kini

Menurut Afif, “Apabila mendapat lagu ini, saya telah diberikan tugasan untuk menyesuaikan melodi mengikut citarasa pendengar pada masa kini. hal ini mengambil masa beberapa kali sehingga mencapai kata putus daripada semua pihak. Selain itu antara cabarannya adalah, Afif merupakan penyanyi lelaki yang telah dipilih untuk Siti Rosmizah dan mereka menghadapi cabaran atau misi dalam mencari pemilik suara wanita pada ketika itu dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk membuat lagu ini bersama Nikki Palikat yang merupakan naib juara Gegar Vaganza (musim 8) pada 2021.”

Takdir Itu Milik Aku

Drama “Takdir Itu Milik Aku” mengisahkan tentang Dian Zara, seorang gadis lurus dan bersih hatinya menumpang kasih dengan neneknya. Manakala emak saudaranya, Kamisah tidak henti-henti menyeksa hidupnya. Dian disuruh menjadi orang gaji sebelum dipaksa kahwin. Episod duka bermula hanya kerana dia hamil anak cacat.

Drama ini juga dilakonkan oleh pelakon yang hebat seperti Emna Maembong, Aiman Hakim, Liza Abdullah, Jasmin Hamid, Mustaqim Bahadun, Datuk Fauziah Nawi, Mak Engku Farida, Naszsally, Riz Amin, dan ramai lagi.

Platform penstriman muzik terpilih

Lagu ‘Dugaan Takdir Cinta’’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. 

Afif Tirmizie, Nikki Palikat – Dugaan Takdir Cinta (OST Takdir Itu Milik Aku)