KUALA LUMPUR, 13 Mac 2025 – Selepas kejayaan luar biasa video tarian raya tahun lalu yang mencatat lebih 30 juta tontonan dan lebih 30 ribu perkongsian, Agy kembali dengan sesuatu yang lebih istimewa untuk sambutan Aidilfitri tahun ini. Raya 2025 bukan sahaja menjanjikan tarian sebagai trademark Agy, tetapi juga penyertaan lebih ramai ahli keluarga, menjadikan sambutan lebih bermakna dan erat.
Lagu Baharu Penuh Makna
Menerusi karya terbaharunya, “Cerita Raya Agy”, Agy mempersembahkan sebuah lagu raya ciptaan Farique dengan lirik hasil garapan Adah dan Agy sendiri. Lagu ini mengangkat kisah perjalanan Ramadan dan Aidilfitri keluarganya, menampilkan elemen tradisi seperti gotong-royong, memasak bersama, serta nilai-nilai murni dalam keluarga yang terus dipelihara.
“Bagi saya, Raya adalah tentang menyatukan keluarga, mengeratkan silaturahim dan membawa semangat Ramadan ke Aidilfitri. Kami rewang bersama, bantu-membantu, dan meraikan hari raya dengan penuh makna,” kata Agy ketika ditemui dalam satu sesi temu bual.

Dari Fenomena Viral ke Perjalanan Seni
Fenomena yang tercetus daripada tarian unik Agy sebelum ini bukan sekadar tular, malah mengukuhkan pengaruhnya dalam industri seni. Video tarian raya beliau sebelum ini mencatat lebih 30 juta tontonan di semua platform serta menerima lebih 20 ribu komen dari peminat di seluruh dunia. Sokongan luar biasa ini menjadi pendorong untuk Agy terus berkarya, menggabungkan elemen muzik, keluarga dan budaya dalam setiap persembahannya.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kenangan dan ikatan keluarga. Viral atau tidak, yang penting keluarga dapat bersama dan gembira. Itu yang utama,” tambah Agy. Projek ini juga membuka ruang bagi ahli keluarganya memahami lebih mendalam tentang perjalanan seninya.

Bersedia Menggegarkan Raya 2025
Sebelum pelancaran rasmi, “Cerita Raya Agy” telah dipersembahkan dalam beberapa acara tertutup dan terbuka sebagai sesi pre-listen. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan, dengan sokongan penuh daripada rakan-rakan, klien serta peminat. Malah, beberapa jenama telah mula menunjukkan minat untuk mendapatkan lesen bagi menggunakan lagu ini dalam kempen promosi mereka.
“Ini bukan soal persaingan, tetapi sekadar mengembangkan ruang dalam kerjaya seni saya dan berkongsi projek ini dengan keluarga serta sahabat,” jelas Agy.
Lagu “Cerita Raya Agy” telah dilancarkan di semua platform digital pada 7 Mac lalu dan kini boleh dinikmati oleh semua peminat. Raya 2025 dijangka lebih meriah dengan alunan muzik serta tarian khas yang bakal menceriakan suasana perayaan!