
KUALA LUMPUR – Bermula dengan program realiti di media social ‘Superlaki’, pendatang baharu Aiman Coco telah melangkahkan kaki beliau setapak lagi ke hadapan di dalam bidang nyanyian iaitu bidang yang diminatinya sejak dari kecil lagi. Sangat meminati penyanyi dari seberang iaitu Charlie ST12, Aiman Coco cuba mempertaruhkan lagu berentak balada untuk single pertamanya berjudul Silam.
Nama sebenarnya Muhammad Nasrul Bin Ali berasal dari Hulu Langat Selangor telah mula berjinak-jinak dalam industri suara semenjak di bangku sekolah lagi. Bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian malah Aiman sangat berkebolehan dalam bidang Qasidah dan seringkali mendapat gelaran juara dalam mana-mana pertandingan yang disertainya.

Beliau seorang yang agak pendiam, pemalu dan sangat ringan tulang. Aiman juga seorang yang sangat mesra jika seseorang itu telah mula mengenali beliau. Aiman Coco yang pernah mempunyai single raya bertajuk Raya 4 Suara pada tahun 2023 bersama tiga orang lagi rakan artis di bawah label muzik yang sama iaitu RR Entertainment. Dengan pembabitannya dalam lagu raya tersebut menyebabkan pihak RR Entertainment menawarkan Aiman untuk menghasilkan single lagu Silam.
Bila ditanya tentang perasaannya setelah diberi peluang uttuk mengeluarkan single lagu Silam, Aiman berkata, “apa yang saya impikan, Alhamdulillah, Allah telah makbulkan serta terima kasih RR Entertainment dan Sony Music Malaysia kerana memberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan bakat saya dalam bidang nyanyian. Saya amat menghargainya dan akan cuba yang terbaik selagi boleh.”
Aiman yang sudah lama mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri dan beliau sangat tidak menyangka perkara ini berlaku selepas sahaja menghasilkan lagu raya berjudul Raya 4 Suara.

Bercerita pula tentang pengalaman menghasilkan single terbaharunya itu, lagu Silam bukanlah pengalaman atau cerita peribadinya. “Mula-mula saya dengar lagu tu memang saya jatuh cinta sangat, jadi saya terus setuju untuk menyanyikan lagu Silam dan inilah peluang yang saya nanti-nantikan selama ini dan berharap akan dapat menyampaikan dengan yang terbaik untuk pendengar-pendengar di luar sana supaya cerita di sebalik lagu ini dapat dirasai oleh pendengar. Harap-harap pendengar dapatlah merasainya.” Kata Aiman Coco sambil tersenyum.
“Proses menyiapkan lagu ini agak mencabar tetapi saya rasa tak perlulah saya ceritakan biar Abang Herda dan Kak Reen dari RR Entertainment sahaja yang tahu apa yang berlaku,” ujar Aiman sambil ketawa kecil.
“Saya harap sangat pendengar dapatlah menerima lagu Silam ini dengan sebaiknya dan teruskanlah menyokong industri seni sampai bila-bila.” Ucap Aiman diakhir perbualan.
Lagu Silam dihasilkan oleh RR Entertainment manakala gubahan daripada HerdaSyira dan penulisnya pula adalah juga dari HerdaSyira. Lagu Silam telah pun dirilis kepada pendengar pada awal Disember tahun lalu.