October 10, 2024

Warning: sprintf(): Too few arguments in /home5/darulmul/public_html/kelkatutv.com/wp-content/themes/chromenews/lib/breadcrumb-trail/inc/breadcrumbs.php on line 253

Drama terkini Astro Ria iaitu ‘Tiada Maaf Buatmu’ membawa kisah percintaan persis office romance yang bakal menjadi kegemaran ramai. Namun drama baharu pertaruhan kali ini bukanlah berdasarkan naratif percintaan biasa atau cliché semata-mata. 

Drama ini menampilkan kemunculan semula pasangan popular Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson sebagai watak utama selepas bergelar suami isteri lantas mengembalikan keterujaan para peminat dengan lakonan mereka selepas drama hit mereka dalam ‘Curi-Curi Cinta’.

Menurut Idora Abdul Rahman selaku pengarah drama ‘Tiada Maaf Buatmu’ berkata, “drama ini merupakan sebuah naskah yang memberi gambaran side-effect kepada para penonton mengenai isu serangan seksual. Ia bukanlah sesuatu isu yang ringan, malah ia menjadi satu cabaran buat kami untuk memaparkan dengan baik. Kami ingin menonjolkan masalah yang datang daripada isu ini, bukan sahaja masalah cinta lovey dovey atau putus cinta yang biasa dipaparkan dalam drama melayu. Namun, pengambilan Aiman Hakim Ridza dan juga Zahirah MacWilson merupakan penyelesaian yang terbaik kerana mereka sangat profesional dan tidak mencampur-adukkan kehidupan peribadi dengan kerjaya. Dua-dua memang kompetitif dan sering melahirkan idea dan lakonan yang lebih realistik.

Saya berharap para penonton akan tertarik dengan jalan ceritanya dengan plot twist yang mencabar emosi. Kami juga berharap mesej dan pengajaran yang diselitkan sampai kepada mereka dan diterima dengan baik.” Katanya.

Antara adegan di dalam drama Tiada Maaf Buatmu

Drama terbitan Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof ini diarahkan oleh sutradara Idora Abdul Rahman serta didukung oleh barisan pelakon yang berbakat seperti Wan Raja, Hafreez Adam, Josiah Hogan, Datuk Jalaluddin Hassan, Watie Sadali dan Sofia Dendroff. 

Memetik kenyataan rasmi pengurus saluran Astro Ria, Idlan Zahari, “Astro sekali lagi membawa pertaruhan yang besar dengan kembalinya Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson dalam ‘Tiada Maaf Buatmu’. Berbeza dengan penceritaan yang sebelumnya, drama ini memberi gambaran cinta yang terselit sejarah hitam antara watak utamanya. Kelainan ini mampu melahirkan jangkaan yang berbeza di kalangan para penonton memandangkan kedua-duanya akan menunjukkan sisi yang baharu. Uniknya lagi, ini merupakan penampilan pertama mereka selepas bergelar suami isteri jadi para penonton pasti akan tidak sabar untuk melihat gandingan mereka berdua yang memberikan watak kontra dengan kehidupan mereka yang sebenar.

“Kerjasama dengan pihak produksi iaitu Suhan Movies & Trading amat menyenangkan. Mereka memahami kehendak para penonton serta pihak Astro. Malah pihak kami sentiasa ingin mencabar landskap industri drama dengan mengetengahkan penceritaan yang berbeza serta berlandaskan genre yang lebih edgy dan dark.

Drama ini turut berjaya menyelitkan elemen pemerkasaan wanita serta kebangkitan mereka apabila mereka disalah lakukan.  Kami berharap naratif ini mampu menjadi inspirasi kepada para penonton kami serta menarik segmen penonton baharu termasuk generasi muda untuk menontonnya. Akhir sekali, kami berharap ‘Tiada Maaf Buatmu’ bakal menjadi perbualan hebat di kalangan peminat drama dan penonton Astro.” 

Penceritaan menerusi 24 episod ini mengisahkan Aina Cempaka seorang gadis yang mengalami kecelakaan sehingga ia merubah kehidupannya. Perbuatan abangnya yang tidak melangsaikan hutang pemilik kelab malam menjadikan Aina Cempaka menjadi mangsa keadaan. Kejadian itu membuatkan kehidupan Aina Cempaka menjadi lebih malang apabila dia kehilangan ingatannya. Dia membawa diri ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu. Namun, takdir menemukan Aina Cempaka dan Faiz Iqbal  kembali apabila dia mendapat kerja sebagai pembantu peribadi di syarikat Faiz Iqbal. Keberadaan Aina Cempaka di sisi Faiz Iqbal membuatkan kerja-kerjanya lebih teratur, menarik perhatian Faiz Iqbal yang menaruh hati padanya dalam diam. Bibit-bibit percintaan mula berputik di antara mereka tanpa mengetahui sejarah hitam yang terjalin antara satu sama lain lima tahun lalu. 

Tiada Maaf Buatmu’ telah bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 28 September yang lalu secara eksklusif di slot MegaDrama, Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.