Aina Abdul VS Ernie Zakri: Siapa Bakal Ungguli Dua Kategori Terhangat AMT2025?

KUALA LUMPUR, 14 Julai 2025 – Dua nama besar yang sering menjadi sebutan dalam industri muzik tanah air, Aina Abdul dan Ernie Zakri, kini berentap hebat di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) apabila kedua-duanya dicalonkan dalam dua kategori utama – Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat serta Selebriti Ikon Terhangat Dikuasai Samsung Galaxy.

Namun, pencalonan ini bukan sekadar statistik. Ia adalah cerminan kepada persaingan dua figura wanita yang masing-masing membawa gaya, suara dan persona seni tersendiri. Sekaligus, menjadikan kategori ini antara yang paling hangat diperkatakan tahun ini.

Aina Abdul terus mencuri perhatian dengan persembahan yang inovatif dan penuh dramatik. Setiap kemunculannya di pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) bukan sahaja meninggalkan impak visual dan vokal, malah sering mencetuskan perbincangan hangat di media sosial. Karya-karya seperti Sepi dan Terus Hidup menonjolkan kekuatan emosi serta keupayaan teknikalnya yang luar biasa, menjadikan beliau antara penghibur paling berani dan autentik dalam generasinya.

Aina Abdul

Sementara itu, Ernie Zakri membawa pendekatan berbeza – tenang, elegan dan penuh kelembutan. Namun, jangan disangka kelembutan itu satu kekurangan. Vokalnya yang bening dan teknik kawalan yang sempurna telah membolehkan Ernie menawan hati pelbagai lapisan pendengar. Karismanya bersahaja tetapi cukup memikat, menjadikan setiap persembahan beliau satu momen yang menyentuh jiwa.

Menariknya, walaupun keduanya sering dilihat sebagai pesaing, Aina dan Ernie sebenarnya menjalin persahabatan yang erat. Mereka sering saling menyokong dalam pelbagai acara dan projek seni. Namun, AMT2025 bakal menguji dinamika tersebut apabila hanya seorang akan membawa pulang trofi berprestij dalam setiap kategori.

Pertembungan dua diva ini turut memecah belah peminat yang masing-masing lantang mempertahankan idola mereka. Aina hadir dengan aura misteri dan keberanian berkarya, manakala Ernie tampil dengan ketenangan dan vokal bak biola yang meruntun kalbu.

Ernie Zakri

Apa pun, pemenang sebenar akan ditentukan sepenuhnya menerusi undian peminat. Oleh itu, para penyokong kini boleh mula mengundi penyanyi pilihan mereka dengan melayari laman rasmi di www.tonton.com.my/anugerahmeloditerhangat atau memuat turun aplikasi Tonton di telefon pintar.

Peminat hanya perlu mendaftar akaun Tonton dan melanggan pelan TontonUP untuk membuka akses undian. Langganan selama satu bulan melayakkan anda menerima 500 undian, manakala pelan tiga bulan menawarkan sehingga 2,500 undian.

Untuk maklumat lanjut mengenai senarai selebriti yang bertanding, aktiviti promosi serta kejutan yang menanti, ikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @MelodiTV3.

Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai Selebriti Terhangat 2025? Anda yang tentukan!