KUALA LUMPUR : Ratu Pop Malaysia, Datuk Aishah bakal berganding bahu bersama Orkestra Filharmonik Malaysia atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di dalam sebuah konsert yang telah lama dinantikan berjudul Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 6 Ogos 2022 bermula jam 8:30 malam.
Konsert yang akan dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose bakal menyaksikan keunggulan persembahan MPO yang melangkaui pelbagai genre muzik samaada muzik klasikal barat ke runut bunyi filem, irama tradisional, pop, jazz dan kontemporari.
Ditubuhkan pada tahun 1998, MPO terus menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa kepada pelbagai lapisan penonton. MPO juga telah melebarkan sayapnya ke negara luar seperti Singapura, Taiwan, Korea, China, Jepun dan Australia.
Kolaborasi terbaru antara Aishah dan MPO bakal menjadikan sebuah persembahan yang sememangnya dinanti-nantikan lantaran Aishah sendiri adalah nama besar dalam industri seni muzik tanahair. Persembahan ini merupakan konsert solo pertama Aishah bersama MPO di pentas DFP. Sebelum ini Aishah pernah berkolaborasi bersama MPO dan Akim Ahmad untuk konsert Malaysia’s Virtual National Day 2020 Reception dan tahun 2018 untuk konsert Semalam Di Malaya, bergandingan bahu bersama Liza Hanim, Musly Ramly dan Rachel Guerzo.
Terdahulu, Aishah memulakan perjalanan seninya pada tahun 1987 sebagai penyanyi utama untuk sebuah kumpulan pop dari New Zealand, The Fan Club sebelum melancarkan kerjaya solonya pada tahun 1990 dengan mengeluarkan album sulung yang berjudul Aishah. Sejak daripada itu, beliau telah mengeluarkan pelbagai album hit dan juga memenangi pelbagai anugerah muzik tempatan antaranya pernah menjadi pemenang pertama Artis Paling Popular untuk ‘Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH)’ dan merupakan pemenang anugerah ‘Penyanyi Wanita Paling Popular ABPH’ selama tiga tahun berturut-turut (1990-1992). Aishah juga telah memenangi ‘Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM)’ pada tahun 1995 dan 1996. Nama Aishah kembali menjadi sebutan setelah beliau muncul di pentas Gegar Vaganza sebuah program pertandingan nyanyian terbitan stesen TV Astro dan beliau berjaya bergelar juara pada tahun 2017.
Untuk konsert bersama MPO ini, para penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan seni beliau, dialunkan dengan vokalnya yang hebat sambil diiringi melodi simfoni orkestra daripada MPO. Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan seperti Seloka Rindu, Fatwa Pujangga, Kemaafan Dendam Yang Terindah, Janji Manismu dan Camar Yang Pulang. Semua lagu yang bakal dipersembahkan telah digubah dan diberikan nafas simfonik baru oleh Gerard Salonga, Luqman Aziz, Jenny Chin,Ahmad Muriz Che Rose, Ilham Subri, Vivian Chua dan Azhad Sulaiman.
Tiket boleh dibeli di laman sesawang Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous. Setakat ini, tiket untuk C Reserve (RM 255) dan B Reserve (RM 355) telah habis dijual.
Menerusi kenyataan media, MPO akan terus menyajikan persembahan terbaik melalui program pelbagai corak untuk semua lapisan. “Anda telah menjadi sumber inspirasi dan motivasi kami sepanjang segala usaha, komitmen dan cabaran yang kami hadapi. Semua pencapaian kami sehingga ke hari ini disebabkan oleh sokongan dan kesetiaan anda. Jadilah penunjang yang sentiasa mendorong kami. Dermalah kepada MPO di mpo.com.my/donate. Segala sumbangan yang diberikan akan disalurkan untuk terus memupuk bakat seni tempatan, menyajikan penonton kami dengan pelbagai pilihan muzik dan persembahan-persembahan yang menarik, dan untuk terus menyebarkan keindahan muzik kepada semua.”#YouAreTheReason