April 20, 2024

KUALA LUMPUR – Karya-karyanya sentiasa dinanti-nanti. Rata – rata anak seni yang kini mekar melakarkan nama, pernah berjaya dengan lagu nukilan beliau. 

Sebut sahaja siapa? Daripada yang tersohor namanya seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Dato’ Sheila Majid, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti, Misha Omar, Ella, Hafiz Suip, Allahyarham Saleem dan Siti Sarah, Liza Hanim dan ramai lagi, kepada generasi pertengahan dan baharu seperti Khai Bahar, Black, Niki Palikat, Aufahanie, senarainya tak terungkap, Mereka telah mencipta kegemilangan dengan lagu-lagunya.

Sedar tak sedar, insan seni ini telah bertapak di dalam industri muzik 35 tahun lamanya dan namanya masih gah di mata peminat seni daripada segenap lapisan usia. 

Mohd Faizal bin Maas atau lebih dikenali dengan Ajai sememangnya begitu sinonim namanya dengan irama ‘killer’ genre balada. Antara lagu-lagunya yang masih malar segar menjadi siulan bukan satu, bukan dua malah beratus tersusun rapi dalam senarai berdaftar MACP.

2024 menyaksikan tahun ke 35 Ajai mengorak langkah, berdiri teguh. Masih aktif menerbitkan lagu-lagu serta aktif di bidang penjurian bagi program-program realiti TV serta aktif di panggung-panggung konsert bersama Kumpulan Exists.

Tapi beliau tetap memegang sebuah impian, impian yang digenggam sepanjang 35 tahun berkarya, beraksi di pentas kepunyaannya sendiri. Daripada perkenalan konsert Exists di Kuching Sarawak, telah melahirkan satu  perjanjian yang begitu bernilai buat Ajai. Cerita santainya bersama pemilik Menara Network Sdn Bhd, Dato’ AB Razif telah direalisasikan oleh usahawan tersebut apabila bersetuju dan melamar Ajai untuk menjadi penganjur utama Konsert ByAjai & Mega Friends.

“Pucuk dicita ulam mendatang”, rezeki tak pernah salah alamat. Setelah beberapa perbincangan dijalankan, maka termeterailah satu ikatan. Tanggal 3 Ogos 2024 akan menjadi satu tarikh keramat buat Ajai dan Menara Network.  

Julung-julung kalinya Ajai akan beraksi di pentas konsertnya mengalunkan lagu-lagu versi pencipta. Lagu-lagu hit yang pernah didendangkan oleh penyanyi bertaraf Bintang di Malaysia. Jolokan the ‘Hit Maker’ tidak dipersiakan bila mana barisan artis ‘wishlist’ Ajai memberikan jawapan setuju bila dilamar untuk ke pentas byAjai & Mega Friends ini.

Ada apa dengan Mega Friends?  Pemilihan barisan artis yang bakal beraksi di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends bukan calang-calang orangnya. Ajai menilai mereka daripada segenap sudut. “Semua lagu yang saya ciptakan Istimewa bagi saya.  Tetapi mereka yang saya pilih untuk konsert pertama saya ini, ada cerita keistimewaan tersendiri.” Ujar Ajai.

Barisan penyanyi yang dibawakan nanti seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama dan Aufahanie dikenali Ajai daripada tahun-tahun yang berbeza tapi mereka ini kekal dalam liga mereka yang tersendiri hingga ke hari ini.   

Konsert ByAjai & Mega Friends bakal berlangsung pada Sabtu, 3hb Ogos 2024 di Megastar Arena Kuala Lumpur dibawakan khas oleh Menara Network Sdn Bhd. Tiket-tiket konsert boleh dibeli secara online di www.ticket2u.com.my bermula hari ini, 6hb Mac 2024.  Tawaran harga tiket yang dibuka ini merupakan tawaran ‘Early Birds’.  Peminat yang membeli tiket-tiket ‘Super Mega VIP’ pula berpeluang untuk sesi ‘Meet & Greet’ bersama Ajai dan juga membawa pulang goodie bag merchandise rasmi.

Untuk konsert pertama Ajai, beliau akan menggunakan khidmat Sharon Paul selaku Pengarah Muzik konsert. Pemuzik-pemuzik juga akan diiringi oleh barisan ‘strings’ bagi menambahkan lagi perisa muzik. Sebagai seorang yang sangat cerewet dalam mengenengahkan lagu-lagunya, Ajai pastinya mahukan yang terbaik untuk setiap sudut di konsert pertamanya ini.

“Apa yang saya boleh janjikan, Insyaallah, semua lagu yang bakal didendangkan oleh saya mahupun artis-artis Mega Friends, saya pastikan penonton karoks sampai hilang suara,” kata Ajai secara berseloroh.  

Bagi pihak Menara Network pula, mereka bersetuju dengan misi yang ingin Ajai sampaikan pada semua peminatnya di konsert tersebut. “Dan yang pasti juga, kualiti bunyian, susunan muzik dan setiap inci yang dipersembahkan oleh team Menara Network dan produksi tiada kompromi.

“Pastinya, inilah buah tangan yang telah lama anda nantikan. Kita punyai ‘Hit Maker’ yang bakal menggegarkan pentas di konsert ByAjai bersama barisan Mega Friends nya seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama, Aufahanie dan Maestronya, Ajai.” Katanya.  

Dalam pada itu, Menara Network dan Ajai juga merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Hotel Royale Chulan Damansara dan Royale Chulan KL di atas persetujuan menjadi rakan hotel rasmi bagi konsert kali ini.  

Anda pastinya teruja untuk mendengar versi-versi asal ‘versi komposer’ bagi lagu-lagu hit artis-artis kesayangan anda. Jadi nantikan dan selitkan tarikh keramat ini dan kita jumpa di Megastar Arena Kuala Lumpur pada Sabtu, 3 Ogos 2024 jam 8 malam.