April 20, 2024

PENANTIAN satu dekad berakhir apabila mila jirin muncul dengan naskhah baharu, Sandera sebuah lagu yang pastinya membuai emosi sesiapa sahaja yang mendengarkan nya buat kali pertama.

Bagi Mila, tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat kembali ke studio merakamkan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Amylea Azizan. Jelasnya, peluang yang diberikan kepadanya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja sementelah dia sendiri sudah lama tidak merakamkan lagu baharu.

“Sebenarnya lebih lapan tahun saya tidak hadir dengan lagu baharu dan apabila ditawarkan semula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali kepada industri muzik tanah air. Banyak perkara yang saya korbankan dalam tempoh berkenaan tapi rindu saya untuk aktif semula tidak pernah sesekali padam.

“Selama ini saya hanya menyanyi untuk majlis pelanggan di Bizmilla Wedding Centre sahaja. Saya berkorban minat yang satu ini semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan bisnes,” kata Mila membuka cerita.

Selain itu, Mila juga mendedahkan yang dia menuruti permintaan suaminya, Ahmad Ailis yang mahu dia berehat sebentar daripada industri tatkala mereka dikurniakan cahaya mata tujuh tahun yang lalu. Suaminya, risau sekiranya Mila terus aktif dalam bidang seni sedangkan anak mereka, Arif Zikri memerlukan tumpuan sepenuhnya.

Sudahnya, dia merelakan hati menarik diri selangkah kebelakang demi memastikan anak tunggalnya mendapat kasih sayang sepenuhnya selain memberikan tumpuan kepada perniagaan Bizmilla Wedding Centre yang mempunyai 18 Banquet Hall di 7 Cawangan di Selangor, Putrajaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Bukan mudah sebenarnya mahu merakamkan Sandera ini memandangkan saya terpaksa memujuk suami untuk memberikan keizinan. Alhamdulillah, akhirnya dia bersetuju dan memberikan kebenaran bersyarat termasuklah tidak mengabaikan keluarga dan perniagaan.

“Memang saya gembira sangat dan kembali merakamkan lagu dan berharap Sandera ini akan diterima baik oleh pendengar seterusnya mengembalikan nama Mila Jirin kepada industri,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai rakaman pula, Mila gembira apabila lagu ini turut dijadikan runut bunyi untuk drama Khunsa yang bakal ditayangkan mulai 11hb Mac, setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam menerusi saluran tv Astro Ria. 

Menganggap peluang yang diberikan cukup besar buat dirinya, penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara ini berharap kedua-dua produk ini akan diterima baik oleh peminat.

“Pada asalnya saya hanya membuat rakaman semula lagu Dawai untuk media sosial sahaja. Tak sangka pula video berkenaan tular sehingga menarik minat Amylea. Dia hubungi saya dan memberikan tawaran sebuah naskhah baharu untuk Khunsa.

“Bila mendengarkan sahaja tajuk Khunsa, itu sudah memberikan seribu satu persepsi kepada saya. Apabila mendengarkan kisah di sebalik Sandera, saya tidak boleh menolak. Ini memang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan dan yang saya tunggu selama ini, saya sangat gembira akhirnya berjumpa lagu yang sangat saya impikan dalam genre balada dan menonjolkan vocal saya,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima ini lagi.

Paling menggembirakan apabila Mila sendiri dapat menjadi producer bagi lagu ini menerusi Bizmilla dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Sony Music Malaysia dalam mempromosikan Sandera yang mula dilancarkan secara rasmi 12 Mac diseluruh platform digital.

Hala tujunya dalam bidang seni ini juga semakin jelas saat Sandera dilancarkan dan dia berharap dapat melengkapkan repertoire muziknya sebelum melakukan persembahan berskala besar pada masa hadapan.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan Aina Abdul menganjurkan ‘persembahan satu malam’ sejak beberapa tahun yang lalu, itu juga merupakan antara keinginan yang bakal ditunaikan Mila sedikit masa lagi.

“Apabila merakamkan Sandera, ini menambahkan keyakinan saya untuk melakukan perkara yang sama pada masa hadapan. Saya memang mahu melakukan persembahan A Night With Mila Jirin di dewan banquet Bizmilla bersama peminat.

“Buat masa ini itu memang menjadi impian saya tetapi dalam masa yang sama, saya perlu menambah lagu baru bagi mencukupkan repertoire sendiri di samping mengumpulkan peminat generasi baharu untuk mengenali saya dengan lebih dekat,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Sandera sudah dilancarkan secara rasmi bermula 12 Mac dan lirik video  juga boleh ditonton melalui platform dibawah :

(YouTube Sony Music): https://youtube.com/c/SonyMusicMY

(VEVO): https://www.youtube.com/channel/UCubHZ_554asqVfvQspillQw

Instagram Sony Music): https://www.instagram.com/sonymusic_malaysia/

(Facebook Sony Music): http://fb.me/SonyMusicMyDomestic