December 4, 2024

KUALA LUMPUR – Nama kumpulan Akim & The Majistret (ATM) tidak perlu diperkenalkan lagi. Dari lagu hit pertama mereka, Mewangi, nama kumpulan ini terus gah dan mereka berjaya mengumpul jutaan peminat yang setia. 

Tidak keterlaluan jika dikatakan, kumpulan yang membuat penampilan sulung pada tahun 2014 itu menjadi antara band generasi baharu yang berjaya melakarkan rekod cemerlang bukan hanya menerusi karya yang dihasilkan tapi juga menerusi penampilan mereka ketika beraksi di pentas. 

Persembahan bertenaga kumpulan yang diketuai oleh vokalis berkarisma, Akim Ahmad disokong anggota kumpulan yang lain, Wan 6ixthsense (drum); Freddy Hyperact (gitar); Fairuz Sofazr (bass); Afiez Azam (keyboard); Gjie 6ixthsense (gitar); dan Zimi Sofazr (gitar) sentiasa dinanti- nantikan peminat. 

Akim & The Majistret

Lebih membanggakan apabila ATM pernah menggegarkan pentas ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-30 apabila dinobatkan sebagai Juara dan turut memenangi anugerah ‘Persembahan Terbaik’ menerusi lagu “Potret”. 

Selepas kali terakhir muncul dengan single “Roulette” tiga tahun lalu, ATM kini kembali mengubat kerinduan peminat mereka menerusi lagu terbaharu Saksama hasil ciptaan seluruh anggota ATM dan Bunga Cantik (Stacy) yang bertindak sebagai penulis lirik. 

Akim

Lagu bergenre ‘Rock Alternatif’ yang diterbitkan oleh Nova Music ini dilancarkan secara rasmi, malam tadi diikuti live showcase khas Akim & The Majistret selama lebih 1 jam bagi meraikan pengamal media serta peminat setianya. ATM menyampaikan 12 buah lagu hit termasuk sebuah lagu cover Sejati yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Wings. Serentak dengan pelancaran lagu Saksama semalam, siaran perdana video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos diikuti ‘live’ striming ‘Afterparty’ ATM secara eksklusif bersama ahli-ahli YouTube Premium.

showcase khas Akim & The Majistret

Mewakili ATM, Akim, 32, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad berkata, keunikan lagu Saksama terserlah dari awal proses pembikinan lagu hinggalah selesai. 

“Single terbaharu daripada Akim & The Majistret ini dicipta sepenuhnya oleh setiap anggota kumpulan ini sendiri. Liriknya pula daripada Bunga Cantik yang juga adalah isteri saya, Stacy dan ia menjadi satu gandingan yang tiada dua. 

“Saya juga sentiasa berbincang dengan Bunga Cantik mengenai apa yang kami mahukan. Semasa proses rakaman juga, memang Bunga Cantik sendiri yang menjadi penerbit vokal untuk single Saksama ini. Banyak input menarik yang kami terjemahkan dalam lagu ini sebenarnya. 

“Bagi lagu ini, saya dapat merangkumkannya dalam satu perkataan iaitu tenang. Semua yang pernah mengkuti lagu-lagu kami, memang lagu Saksama ini ada perbezaan sedikit kerana ia lebih tenang. Setiap anggota dalam ATM memberikan idea dan sesuatu yang bersesuaian untuk melengkapkan penghasilan lagu ini,” katanya. 

Menurut Akim, ATM mengambil masa tiga tahun untuk kembali dengan karya terbaharu. “Memang agak lama, dan saya sendiri sedar dengan perkara itu. Sebenarnya apa yang berlaku, saya dan isteri berehat sekejap. Kami memang aktif buat lagu untuk artis lain dan pada masa sama baru terima cahaya mata iaitu anak yang ketiga. Jadi, banyak masa saya itu dihabiskan untuk melihat anak membesar. Perkara seperti itulah yang menbuatkan saya agak lama berehat. Tapi berkat daripada semangat yang diberikan oleh anak dan keluarga, hari ini saya datang bersama ATM untuk lagu terbaharu berjudul Saksama.

“Pada saya, lagu ini adalah permulaan baharu untuk perjalanan ATM seterusnya. Saya gembira dengan apa yang terhasil sekarang ini. Kami ada lagu lain juga sebab ada perancangan untuk mengeluarkan album penuh. Insya-Allah, kami akan cuba sehabis baik untuk siapkan album itu tahun ini,” katanya. 

Selain perancangan membuat album, Akim berkongsi ATM juga mempunyai impian untuk mengadakan konsert besar dan siri jelajah ke seluruh negara. 

aksi Gjie di live showcase Akim & The Majistret

“Kami memang ada berbincang dengan pengurus mengenai perancangan akan datang yang mahu dilaksanakan. Namun, semua itu dalam fasa seterusnya dan sekarang ini kami dalam fasa untuk menyiapkan album terbaharu ATM. 

“Selepas ia selesai, kami akan ke fasa untuk mengadakan konsert dan siri jelajah ke lokasi terpilih. Saya berharap peminat dapat bersabar dan berdoa supaya kami diberi kemudahan untuk selesaikan album ini sebelum beralih ke fasa seterusnya,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, ATM yang hampir 10 tahun dalam industri muzik tanah air mahu terus diterima baik oleh peminat dan masyarakat. 

“Peminat juga sedia maklum akan semangat kami dalam bidang muzik ini dan ATM adalah platform terbaik untuk kami menterjemahkannya. Ia seiring juga dengan perkembangan ATM yang hampir menginjak usia 10 tahun. Evolusi muzik kami membawa satu gambaran berbeza untuk ATM dahulu dan sekarang,” katanya. 

Amir Masdi bersama penaja turut hadir di live showcase Akim & The Majistret
SAKSAMA – Akim & The Majistret | Muzik Video Rasmi