
PETALING JAYA: Buat peminat nasyid, nama Al-Jawaher bukanlah suatu nama yang asing. Ditubuhkan pada tahun 1979, Al-Jawaher dikenali ramai dengan lagu-lagu malar segar seperti Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda, Kembara Di Tanah Gersang, Selawat dan Salam, serta banyak lagi.
Meskipun masing-masing meniti usia emas, itu bukan penghalang buat mereka untuk terus setia berdakwah melalui seni muzik. Menurut ketua kumpulan, Norhaiyati Yusop, niatnya adalah untuk menyampaikan dakwah menerusi lagu-lagu dalam koleksi Al-Jawaher itu sendiri.
“Usia itu bukan jadi satu halangan, sebenarnya kalau kita nak berdakwah tak kiralah usia tua pun, kita pun bukan nak kejar popular pun, kalau nak kejar popular zaman dulu lagi kita dah kejar, kita cuma nak berdakwah melalui lagu-lagu kita yang kebanyakannya berunsur nasihat, ketuhanan dan kerohanian,” kata Norhaiyati, 59.

Meskipun zaman sudah berubah namun semangat mereka untuk terus memperjuangkan muzik nasyid tidak pernah luntur.
Menurutnya lagi, ketegasannya sebagai ketua menjadikan kumpulan Al-Jawaher kekal dan dikenali sehingga sekarang.
“Ketua tu mesti tegas, kakak punya keputusan semua kena dengar, adakalanya kakak akan bertegas dari segi ketepatan masa, kedatangan, latihan walaupun ada yang terasa tetapi kita tidak akan simpan dalam hati.” Katanya lagi.
Selain Norhaiyati, kumpulan berasal dari Singapura ini turut dianggotai oleh Habibah Othman, Siti Rosminah Jaafar, Hajar Mohamed, Normala Mohd, Jumuyah Kasbari dan Latifah Johari.

Terbaharu, kumpulan yang diasaskan oleh Ustaz Abdul Karim itu tampil mempertaruhkan single terbaharu dalam bahasa Inggeris dan Arab berjudul Bring Me Close To You setelah 44 tahun berkecimpung dalam industri muzik.
Ini adalah percubaan Al-Jawaher untuk meneroka dan menembusi pasaran muzik antarabangsa sekaligus diharapkan dapat mengubah persepsi masyarakat antarabangsa tentang Islam. Single dan video muzik Bring Me Close To You telah dilancarkan 7 Februari lalu di Royale Chulan The Curve, Damansara.
Bring Me Close To You adalah hasil nukilan sepenuhnya oleh Yazri Malik, yang turut mengubah pelbagai lagu buat bakat-bakat baharu di Singapura.

Bring Me Close To You boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital mulai 17 Februari jam 12 tengah malam manakala video muzik Bring Me Close To You boleh ditonton di saluran YouTube Impact Music pada hari yang sama.
Untuk rekod, Al-Jawahir sudah menerbitkan enam buah album bermula dengan Permata pada 1980, kemudian diikuti Perjalanan (1981), Warna Alam (1982), Berita Gembira (1984), Alam Insan (1989) dan Lambaian Raudah (2019). Al-Jawaher juga pernah berkolaborasi dengan penyanyi legenda Indonesia iaitu Dewi Yull menerusi lagu-lagu Ya Tuhan dan Hanya Tuhan.