Album Pertama Nabila Taqiyyah Sorot Kisah Cinta dan Luka Hati

JAKARTA, 17 April 2025 – Penantian panjang penyanyi muda berbakat, Nabila Taqiyyah, akhirnya terjawab apabila beliau secara rasmi melancarkan album sulung bertajuk Kekal Yang Sementara di bawah label Universal Music Indonesia.

Setelah beberapa tahun membina nama melalui beberapa buah single, album ini menjadi antara pencapaian terbesar dalam kerjaya nyanyiannya. “Sebagai penyanyi atau pemuzik, memiliki sebuah album pastinya menjadi sesuatu yang sangat diimpikan dalam kerjaya, begitu juga saya. Menghasilkan album menjadi salah satu pencapaian luar biasa bagi saya,” ujar Nabila.

Album Kekal Yang Sementara memuatkan lapan buah lagu, termasuk dua single terdahulu, “Ku Ingin Pisah” dan “Terpisah Terluka”. Enam lagi merupakan lagu baharu iaitu “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan”, “Salah Sangka”, “Sementara Bukan Selamanya”, “Cinta Sia-Sia”, dan lagu utama “Berjalan Tanpamu”.

Menariknya, Nabila bukan sekadar menyumbangkan suara, malah turut terlibat dalam penulisan lagu untuk beberapa trek termasuk “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan”, dan “Sementara Bukan Selamanya”, memperlihatkan sisi kreatif serta ketulusan emosinya sebagai penyanyi dan penulis.

Berteraskan genre pop, album ini menggambarkan pelbagai rasa yang dialami dalam hubungan cinta, khususnya momen jatuh dan putus cinta yang dilalui Nabila buat pertama kali. “Album ini menjadi salah satu bentuk validasi terhadap perasaan putus cinta yang dihadapi oleh berbagai kalangan, dari remaja hingga orang dewasa,” jelasnya.

Tajuk album yang kedengaran bertentangan, Kekal Yang Sementara, membawa makna mendalam — menggambarkan bahawa meskipun hubungan mungkin berakhir, perasaan yang pernah wujud boleh kekal selamanya dalam ingatan.

Single utama “Berjalan Tanpamu” turut menerima perhatian kerana melodinya yang minimalis namun menyentuh. Lagu ini berkisarkan kisah cinta yang tidak kesampaian, dengan lirik yang sarat emosi namun membawa mesej ketabahan. Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi Nabila bersama penulis lagu Caturadi Septembrianto dan penerbit S/EEK.

Secara keseluruhan, Kekal Yang Sementara disifatkan sebagai sebuah pakej lengkap album cinta — penuh dengan rasa kecewa dan kesedihan, namun disulami harapan dan kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

“Melalui lagu-lagu ini, saya ingin menyampaikan bahawa rasa kecewa, sedih, dan marah adalah lumrah dalam fasa putus cinta. Namun hidup tak seharusnya berhenti di situ. Ada banyak hal positif lain di luar sana yang boleh kita fokus,” pesan Nabila.

Album Kekal Yang Sementara kini boleh didengarkan di semua platform digital kegemaran anda.