April 16, 2024

Warning: sprintf(): Too few arguments in /home5/darulmul/public_html/kelkatutv.com/wp-content/themes/chromenews/lib/breadcrumb-trail/inc/breadcrumbs.php on line 253

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pemuzik Sape’ Alena Murang baru sahaja melancarkan video muzik (MV) Put Burui bersempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia.

Terilham oleh warisan ilmu yang diturunkan oleh nenek moyang suku beliau, suku Dayak, MV ini memaparkan jalinan kuat di antara muzik dan seni Orang Ulu dengan hutan belantara dan jaringan sungai. Video muzik itu dirakam di Semadang, Sarawak. 

Put Burui ialah sebuah filem pendek dan video muzik berdasarkan lagu tradisional Kenyah yang mengiringi tarian kenyalang yang dipersembahkan oleh kaum wanita. Walaupun tarian ini adalah aspek utama dalam video ini, namun Kirip (gubahan bulu burung enggang) yang kebiasaannya digunakan dalam tarian ini digantikan dengan gubahan daun paku pakis untuk membangkitkan kesedaran tentang pemeliharaan alam semulajadi.

Sebagai suatu usaha untuk melestarikan penjagaan alam semulajadi, Alena juga menggayakan busana yang diperbuat daripada serat semulajadi dalam video klip ini, terutamanya baju daripada Pua Kumbu berwarna merah (fabrik tenunan tangan suku Iban daripada serat dan pewarna semulajadi) rekaan pereka fesyen ternama kelahiran Sarawak, Edric Ong, adan baju sulaman tangan berona perang muda menggunakan teknik songket Sarawak oleh para artisan Tanoti. Pakaian penari latar juga dihasilkan 100% daripada serat tumbuhan. 

Alena menggayakan busana ciptaan oleh pereka-pereka fesyen ternama
Kirip (gubahan bulu burung enggang) digantikan dengan gubahan daun paku pakis

Disamping itu, Alena mengenakan perhiasan diperbuat daripada biji-bijian dan kulit cangkerang ciptaan pereka Edric Ong, Nasha Prive, dan penggubah aksesori Orang Asli Temuan, Leny Maknoh. Setiap butiran perhiasan telah diatur oleh pakar stail juga pengasas Hellostylar, Saerah Ridzuan.

“Gaya yang diketengahkan dalam video muzik Put Burui diinspirasikan oleh alam semulajadi. Warna tanah menjadi tema warna dalam video ini yang boleh dilihat pada sarang buatan manusia, batuan bertekstur, dan pasiran sungai. Malahan, aksesori yang menghiasi Alena dan para penari diperbuat daripada bahan organik dan asli seperti buah jelai, batang bemban, serat daun, dan kulit kayu. Beliau juga mengenakan busana berwarna putih sebagai simbol kesucian alam semulajadi dan merah yang melambangkan kegagahan dan kekuasaan alam semulajadi demi kemandiriannya.” Jelas Saerah.

Penghasilan video muzik ini telah dijayakan oleh sepasukan anak muda kelahiran Sarawak, karya Zass Puravida dan Kanid Studio, di bawah arahan Daphne Charmain Thian. Semasa sesi pelancaran video ini, beliau berkata, “Ini merupakan kali pertama saya mengarahkan muzik video dan semestinya saya berasa gementar. Walaupun saya mempunyai banyak idea tetapi merealisasikannya bukanlah sesuatu yang mudah. Namun begitu, saya menganggap ini adalah suatu pembelajaran dimana saya belajar untuk mengubahsuai dan menyelesaikan masalah dengan segera. Ada masanya saya mengundurkan diri untuk seketika bagi memikirkan alternatif apabila berhadapan dengan isu cuaca yang mencabar. Adakah saya akan melakukannya lagi? Sudah tentu!”

“Saya ingin memaparkan alam semulajadi kita seperti yang biasa dilihat dalam dokumentari. Kita adalah saksi kepada keajaiban alam yang mampu wujud tanpa kita. Alam tidak memerlukan kita sebagaimana kita amat bergantung kepadanya.” Katanya lagi.

Menyediakan peluang dan ruang kepada para belia untuk berkarya amat mustahak bagi Alena dan pandangan ini didukung penuh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, yang merupakan salah satu penaja untuk penghasilan video tersebut.

Sebagai seorang yang berketurunan Dayak Kelabit, Alena yang tidak pernah jemu mempertahankan dan memperkenalkan warisan sukunya melalui seni dan muzik Sape’, merasakan hari istimewa ini yang meraikan sumbangan Orang Asal kepada dunia adalah saat yang paling tepat untuk melancarkan video muzik beliau.

Orang Asal di seluruh dunia masih mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan alam semulajadi dan perkara ini saya sedari sepanjang saya membesar dan mempelajari muzik Sape’ dan bentuk kesenian lain suku Kenyah dan Kelabit. Segala warisan seni kedua suku ini menekankan sumbangan sungai, langit dan hutan rimba kepada kita. Sebagai generasi seterusnya, kita bukan hanya mewarisi seni, muzik dan bahasa, tetapi juga alam ini yang harus dipertahankan sebagai khazanah yang tidak ternilai.” Kata Alena semasa sidang media dan pelancaran video muzik Put Burui, di GSC, NU Sentral, Kuala Lumpur.

Alena yang tidak pernah jemu mempertahankan dan memperkenalkan warisan sukunya melalui seni dan muzik

Lagu ini yang dimuatkan dalam album terbaru Alena, Sky Songs (2021), adalah gubahan Joshua Maran yang diperindahkan dengan alunan seruling oleh Niko Coyez dan petikan Sape’ Alena Murang.

Selaras dengan tema memperjuangkan alam sekitar, Alena telah berkerjasama dengan Bogus Merchandise untuk mengeluarkan kemeja-T cetakan saring sutera menggunakan kemeja-T terpakai yang dipilih dengan teliti oleh beliau sebagai produk jualan bersempena pelancaran video muzik ini. Produk Put Burui kini boleh ditempah melalui laman sesawang Bogus Merchandise www.bogusmerchandise.com.

Video muzik (MV) rasmi Put Burui boleh ditonton di saluran Youtube Alena Murang manakala lagu ini boleh didengari di semua laman muzik digital utama.

Alena Murang – Put Burui (Official Music Video) dengan tarian Datun Julud dan lagu sape’