ALYPH pilih pendekatan berbeza: Biarkan peminat teroka albumnya sendiri

KUALA LUMPUR, 24 Mac 2025 – Penyanyi, penulis lagu dan penerbit terkenal, ALYPH, tampil dengan pendekatan berbeza dalam pelancaran album terbarunya. Berbanding dengan promosi besar-besaran, beliau memilih untuk membiarkan peminat menemui sendiri karyanya terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kempen pemasaran besar.

Menurut ALYPH, keputusannya untuk mengeluarkan lagu baharu lebih awal adalah bertujuan memberi peluang kepada peminat untuk meneroka karya tersebut tanpa pengaruh promosi yang berlebihan. “Saya nak bagi orang dengar dulu lah. Saya nak bagi orang discover sendiri dulu. Saya nak cuba approach yang lain sikit lah,” ujarnya ketika ditemui media.

Ketika ditanya mengenai penerimaan peminat terhadap album ini, ALYPH bersyukur kerana sokongan terhadap albumnya amat positif. “Alhamdulillah, saya rasa penyokong saya memang menantikan album ini. Akhirnya mereka dapat menikmatinya dan setakat ini, mereka nampaknya menyukainya,” katanya.

Mentaliti Berkarya Tanpa Mengikut Trend

ALYPH juga menekankan bahawa baginya, penghasilan lagu bukanlah semata-mata untuk mengejar fenomena viral, tetapi lebih kepada seni dan ekspresi diri. “Saya tak pernah ada mentaliti untuk buat lagu semata-mata kerana mahu ia menjadi fenomena. Saya rasa itu tidak menghormati seni dan usaha saya dalam mencipta muzik,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai trend dalam industri muzik, di mana banyak artis mencipta lagu mengikut genre yang sedang popular demi meraih pendengar. “Saya perasan carta muzik sering berubah mengikut satu trend tertentu dalam satu tempoh masa. Saya rasa itu bukan sesuatu yang baik kerana muzik sepatutnya lebih daripada sekadar mengikut trend. Artis harus mengenali identiti mereka sendiri dan bukan sekadar menjadi pengikut arus semasa,” tambahnya.

Kriteria Kolaborasi dan Pemilihan Rakan Duet

Sebagai seorang penerbit muzik selain menjadi penyanyi, ALYPH menjelaskan bahawa pemilihan rakan duet bergantung kepada kesesuaian suara dan konsep lagu yang diciptanya. “Bila saya buat sesuatu lagu, saya boleh bayangkan bagaimana hasil akhirnya akan kedengaran. Jika saya rasa suara seseorang itu paling sesuai dengan lagu tersebut, maka itulah pilihan saya. Ia bukan sekadar memilih berdasarkan populariti,” katanya.

Acara Istimewa Bersama Peminat

Dalam usaha menghargai peminat, ALYPH baru-baru ini telah menganjurkan acara “Berbuka Puasa Bersama ALYPH dan HOT FM” pada 20 Mac lalu di Banyan Cafe and Bistro. Acara eksklusif yang dihadiri oleh 35 peminat bertuah ini membolehkan mereka berbuka puasa bersama ALYPH serta berinteraksi secara lebih dekat dengan artis kesayangan mereka.

Peminat yang hadir bukan sahaja berpeluang menikmati suasana mesra bersama ALYPH, tetapi juga berpeluang memenangi sepasang kasut Nike Air Force “The Storm AF1” yang dibuat khas untuknya, tajaan daripada HOT FM.

“Saya sangat teruja untuk menghabiskan masa istimewa ini bersama peminat dan ingin menjadikannya sesuatu yang bermakna dengan memberi kembali kepada mereka yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan muzik ini,” kata ALYPH.

Acara tersebut berjaya mencipta kenangan indah buat para peminat yang hadir dan membuktikan bahawa hubungan antara ALYPH dan peminatnya kekal erat, sejajar dengan pendekatannya yang lebih intim dan peribadi dalam berkarya serta berinteraksi dengan pendengar setianya.