Amber Oasis Abaya: Perpaduan Seni, Keanggunan dan Inovasi Fesyen Muslimah

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Jenama fesyen terkemuka Amber sekali lagi mencuri tumpuan dengan pelancaran koleksi eksklusif terbaharunya, Amber Oasis Abaya, yang mempersembahkan gabungan elegan antara reka bentuk avant-garde dan warisan Islamik dalam satu seleksi pakaian Muslimah berkelas tinggi.

Dilancarkan sebagai koleksi edisi terhad, Amber Oasis Abaya merangkumi empat rekaan utama — Madeena, Arora, Jumaira dan Sahara — yang masing-masing menyerlahkan estetika tersendiri bagi memenuhi cita rasa wanita moden masa kini. Koleksi ini bukan sahaja memperkukuh identiti Amber sebagai peneraju fesyen Muslimah mewah, tetapi juga menzahirkan seni dalam setiap helaian.

Menambah keistimewaan pelancaran kali ini, tiga selebriti popular tanah air Nora Danish, Amira Othman, dan Amyra Rosli, telah dilantik sebagai duta jenama. Ketiga-tiga figura ini bukan sahaja membawa aura glamor, malah mencerminkan nilai-nilai jenama Amber seperti elegan, yakin diri dan penghormatan terhadap gaya hidup Muslimah kontemporari.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, koleksi ini lebih daripada sekadar pakaian.

“Amber bukan hanya jenama, tetapi simbol keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden. Setiap wanita berhak bergaya dengan yakin tanpa mengabaikan nilai dan keselesaan. Pelancaran koleksi ini adalah bukti komitmen kami dalam menghasilkan fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa pelantikan duta selebriti bukan sekadar strategi pemasaran, tetapi usaha mendekatkan jenama kepada pengguna yang menjadikan mereka sebagai inspirasi.

Dalam kenyataan berasingan, Amyra Rosli menyatakan keterujaannya apabila dipilih sebagai wajah baharu Amber.

“Saya sangat terharu. Sewaktu saya menggayakan abaya Amber untuk rakaman program Nona, saya jatuh cinta dengan rekaan dan kualitinya. Alhamdulillah, dari situ kerjasama ini terjalin,” katanya.

Sementara itu, Nora Danish pula menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang dekat dengan jiwanya.

“Saya memang tertarik dengan idea di sebalik koleksi ini. Rekaan Amber menampilkan gaya bertaraf antarabangsa, dan yang paling penting, tetap selesa walaupun cuaca panas,” katanya sambil memuji aspek keselesaan abaya tersebut.

Bagi Amira Othman, yang turut menyertai keluarga Amber, personalitinya yang lembut dan santun menjadikannya padanan sempurna untuk rekaan abaya Jumaira.

Empat rekaan utama dalam koleksi Amber Oasis Abaya termasuk:

  • Madeena (RM329) – Menampilkan rona baby blue, maroon dan purplish gold, potongan free size yang memancarkan keanggunan klasik.

  • Arora (RM289) – Dua versi menarik: copper brown (pleated) dan midnight blue (non-pleated), ideal untuk mereka yang berani mencuba gaya berstruktur.

  • Jumaira (RM259) – Pilihan kasual mewah dengan warna white, mint green dan light brown, sesuai untuk majlis siang atau malam.

  • Sahara (RM199) – Abaya versatil dan mampu milik, dalam rona black, brown dan green, kekal eksklusif dengan potongan ringkas.

 

Sebagai tanda eksklusiviti, hanya 500 unit setiap rekaan ditawarkan. Setiap pembelian disertakan dengan kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, dan e-pass jemputan ke majlis pratonton eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week, September 2025.

Dengan pelancaran ini, Amber terus membuktikan bahawa fesyen Muslimah boleh menjadi medium ekspresi seni yang elegan tanpa menjejaskan prinsip serta nilai yang dipegang oleh wanita moden masa kini.