Kugiran rock Tanah air, Search yang juga dikenali sebagai pelopor irama Rock & Roll atau muzik rock dalam bidang muzik arus perdana Malaysia semenjak dekad 1980-an kini telah meneruskan perjuangannya agar kumpulan ini terus kekal relevan mengikut peredaran zaman.
Terbaharu, kumpulan yang diterajui oleh pemain gitar asal, Hamzah Mohd Taib (Kid) dan Nordin Mohd Taib (Din) telah mengambil keputusan berkolaborasi bersama juara Akademi Fantasia (AF2016), Amir Masdi sebagai vokalis kumpulan Search bagi menjayakan konsert Search Gemuruh yang telah diadakan pada 29 Jun lalu di Zepp Kuala Lumpur.
Dengan gaya dan pesona yang ditonjolkan oleh Amir, beliau berjaya menambat hati peminat Search sehingga ke akhir persembahan konsert. Diperkenalkan sewaktu sidang media 2 bulan lalu, KidDin yakin bahawa Amir Masdi mampu menggalas tanggungjawab sebagai vokalis Search bagi menggantikan Denden Gonzales yang tidak dapat bersama untuk konsert pada kali ini.
“Saya tak baca atau layan segala komen-komen netizen ni, cuma saya ambil yang positif sahaja. Kalau saya baca (komen) memang pening, sama seperti Denden sewaktu dia first time join Search dahulu, macam-macam orang cakap pasal dia.” Ulas Din berkenaan kolaborasi bersama Amir Masdi.
Amir juga berpendapat apa sahaja komen negatif yang dilemparkan terhadapnya, beliau tidak ambil peduli dan baginya konsert Gemuruh Search ini sesuatu sangat penting buatnya dan juga Search dalam menggalas amanah yang telah diberikan kepadanya.
“Bagi saya is real deal adalah di atas stage, jika orang nak bercakap sebelum hari kejadian ianya tidak memberi apa-apa manfaat dan kami tidak akan peduli tentang perkara tersebut, jadi tanggungjawab kami di atas stage adalah untuk menghiburkan peminat Search dan itulah hari kejadian yang paling penting bukan untuk kami sahaja tetapi untuk semua orang.” Kata Amir.
Muncul di atas pentas Zepp KL, sosok yang ditunggu peminat Search tidak lain tidak bukan gabungan adik beradik Kid dan Din, bersama pemain dram, Min dan juga pemain bass Barbarik, Rozaimi serta dilengkapkan lagi oleh pemain keyboard, Rozario menjadikan malam itu berdentum bagaikan guruh di langit. Ternyata apabila Amir Henjut sebagai lagu pembuka tirai sebelum Pelesit Kota, Metropolitan, Diari Habil dan Qabil berkumandang menjadi bukti bahawa KidDin tidak salah memilih Amir untuk melantunkan lagu-lagu Search pada malam tersebut.
Dengan penampilan gaya glamrock, Amir meneruskan persembahan menerusi lagu Fantasia Bulan Madu yang dipetik dari album Mentari Merah Diufuk Timur membuai nostalgia penonton yang hadir apabila lagu itu dialunkan dengan penuh penghayatan. Susunan setlist lagu dilakukan dengan teratur dan penonton tidak sempat menghela nafas panjang apabila Search merancakkan persembahan menerusi Pembakar Perasaan, Hongky Tong Kosong dan Orait Mama.
Dalam pada itu juga, mereka tidak pernah melupakan terhadap pemain dram Search, Allahyarham Yazit Ahmad setelah hampir lima tahun pemergiannya. Sebanyak RM5,000 telah disumbangkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melalui wakilnya, Izhar Yusof kepada keluarga pemuzik legenda itu. Selain itu, keluarga Yazit yang diwakili isteri, Ramlah Ahmad dan anak ketiga, Shafiqa Nurlis, menerima RM5,000 daripada penganjur konsert, Big Stage Entertainment dan redONE Mobile.
“Terima kasih kerana sentiasa berada di belakang bapa semasa hayatnya. Kepada semua peminat Search, tidak kira kumpulan mana, terus beri sokongan kepada mereka. Saya doakan yang baik-baik untuk semua,” kata Shafiqa sewaktu menerima sumbangan tersebut.
Selesai majlis penyerahan cek sumbangan, konsert diteruskan lagi. Bagaikan kaki telah dipaku manakan tidak peminat Search seakan tidak berganjak dari tempat mereka apabila Amir telah berjaya membuat mereka terpegun dengan aksinya yang penuh bertenaga. Seterusnya Amir mengajak penonton menyanyi bersamanya menerusi lagu Bisa, Bersalah Atau Tidak dan Di Pintu Sepi.
Search yang pernah meledak ke seluruh nusantara apabila album Fenomena tahun 1989 telah menjadikan album paling laris jualannya ketika itu. Amir juga mengakui kumpulan Search adalah sebuah kumpulan rock yang pernah menjadi fenomena dikalangan band-band rock tanah air yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Fenomena, Gadisku, Pawana dan Pasti antara lagu-lagu yang menjadi kegilaan peminat rock pada zaman kegemilangannya dan Amir membawa lagu-lagu tersebut tanpa dibayangi vokalis Search sebelumnya itu.
Konsert berakhir dengan encore menerusi lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, sekali lagi menguji kemampuan vokal Amir dan ternyata beliau lulus ujian pertama untuk konsert Search Gemuruh ini. Bukan mudah seorang penyanyi yang pertama kali bersama band lagenda untuk menjayakan sebuah konsert berskala besar. Itulah kehebatan Amir Syazwan Masdi bukannya Amy Mat Piah!
Terdahulu, konsert Gemuruh Search yang telah dianjurkan oleh Big Stage Entertainment dan penaja utama RedOne Mobile menarik seramai 2,000 peminat Search dengan persembahan pembukaan oleh barisan pemuzik hebat seperti Muzza (gitar), Ritz Metalasia (gitar), Fly (bass), Addy Cradle (gitar), Ujang Exist (dram), dan Rozaria Rasul (keyboard) yang juga bertindak sebagai Pengarah Muzik keseluruhan konsert ini. Dalam persembahan pembukaan tersebut, mereka telah menampilkan penyanyi istimewa dari Indonesia, Jovita Pearl bersama pemain dram berbakat besar, Naimi.