Amy Search bakal ukir sejarah baharu dengan konsert solo pertama di Axiata Arena

KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mengadakan konsert solo pertamanya yang diberi nama “Amy Search Magic Konsert Solo Pertama” di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April 2025.

Konsert ini dijangka menjadi detik bersejarah dalam perjalanan seni Amy, yang telah menakluk industri muzik selama lebih empat dekad. Selepas 44 tahun mencipta fenomena bersama kumpulan Search, Amy kini bersedia menonjolkan sisi peribadi dan mempersembahkan kehebatannya secara lebih intim kepada peminat setia.

“Setiap lagu yang saya nyanyikan nanti adalah cerminan kehidupan saya. Ia bukan sekadar muzik, tetapi juga jiwa saya yang ingin saya kongsi bersama peminat,” kata Amy penuh emosi.

Konsert yang bertemakan ‘Magic’ ini bukan sahaja simbol pencapaian peribadi Amy, malah sebagai penghormatan kepada para peminat yang setia menyokongnya sejak awal karier. Persembahan eksklusif ini dianjurkan oleh TheWhiteGroup dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia, menjanjikan sebuah pengalaman yang epik dan penuh kenangan.

Sokongan Padu Rakan Seperjuangan

Meskipun beraksi solo, Amy tetap mendapat sokongan penuh daripada anggota Search yang lain seperti Nasir, Hillary, dan Man Kidal, membuktikan ikatan persahabatan mereka kekal utuh.

Lebih menarik, konsert ini turut mendapat sentuhan kreatif daripada Jennifer Thompson, pengarah konsert tersohor Malaysia, manakala pimpinan muzik akan diketuai oleh Rie Tsuji, menjanjikan standard persembahan yang luar biasa.

“Amy adalah ikon rock yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Konsert ini bakal menjadi satu perayaan kepada karier luar biasanya, penuh emosi dan keajaiban buat peminat,” ujar Jennifer.

Tiket Dijual Mulai 5 Februari 2025

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 5 Februari 2025 di www.wowtix.com.my. Harga tiket bermula daripada:

• RM188 (Cat 6 – Tiada Lagi),

• RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita),

• RM388 (Cat 4 – Kerja Gila),

• RM538 (Cat 3 – Kamilah Cinta),

• RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan),

• RM788 (Cat 1 – Rock Royalty).

Persembahan Penuh Nostalgia dan Inspirasi

Amy kini giat membuat persiapan rapi, dari segi pemilihan lagu hingga ke perincian teknikal, bagi memastikan konsert ini menjadi pengalaman yang sempurna untuk semua penonton. Lagu-lagu malar segar seperti “Isabella” dan “Fantasia Bulan Madu” dijangka menghidupkan nostalgia, membawa penonton mengimbau detik indah bersama Amy.

Bagi Amy, konsert ini bukan sekadar pentas hiburan, tetapi juga platform untuk memberi inspirasi kepada generasi baharu pemuzik tanah air.

“Usia bukan penghalang untuk terus mengejar impian. Selagi jiwa ini ada, seni akan terus hidup,” tambah Amy penuh semangat.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah seni rock Malaysia. Saksikan keajaiban “Amy Search Magic Konsert Solo Pertama”, di mana muzik bertemu jiwa, dan kenangan tercipta untuk selama-lamanya.