May 22, 2024

KUALA LUMPUR – Penyanyi solo berbakat besar, Amy Zakri kini muncul dengan sebuah lagu untuk runut bunyi (OST) filem Syahadan 2 yang masih lagi dalam proses penggambaran. Amy yang pernah muncul dengan single pertama berjudul Lafaz Seorang Pencinta, mengakui lagu yang diterima ini agak mencabar kerana lagu asal tersebut adalah sebuah lagu nasyid dan ianya perlu diubah kepada irama rock yang lebih segar untuk disesuaikan dengan citarasa pendengar masa kini.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Muhammad Zulhilmi Bin Mohamed Zakri, beliau diberi kepercayaan oleh penerbit dan juga pengarah filem Syahadan 2 itu sendiri Datuk Fairus Hussain untuk membawa lagu OST tersebut. Lagu yang berjudul Pejuang Abata telahpun dilancarkan pada 11 Mei lalu berserta video muzik (MV) yang menampilkan selebriti Persilatan Indonesia, Chintya Chandranaya.  

“Bila pendengar mendengar lagu OST ini ia akan menggambarkan sesebuah filem dan bukannya lagu-lagu yang biasa kita dengar. Cabarannya kita mengambil masa tempoh yang agak lama untuk menyiapkan lagu ini disebabkan lagu asal tersebut adalah berirama nasyid tetapi diubah kepada melodi rock atas kehendak penerbit dan juga untuk kesesuaian dengan suara saya.

“Untuk muzik video pula, cabarannya adalah kita hendak mengekalkan kualiti atau nilai berkaitan dengan silat. Kalau kita buat muzik video yang mana skopnya keluar dari elemen silat, berkemungkinan orang tak akan pandang sebab ianya sudah lari dari konsep yang sebenar.” Ujar Amy.

Lagu dan lirik Pejuang Abata hasil ciptaan Panglima, manakala struktur muzik dan penyusunan lagu digubah sepenuhnya oleh Alan Monosterio. Dirakamkan di studio rakaman Asia Empire Production, milik Haniff Khan Mohd Khan atau lebih dikenali dengan Anep Monosterio, ini termasuk proses adunan dan mastering oleh Anep sendiri. 

Bagi Anep pula, beliau dan Monosterio berusaha keras untuk menghasilkan lagu OST ini mengikut kemahuan penerbit. Anep juga bersyukur apabila Amy ditawarkan untuk menyanyikan lagu Ost tersebut. Baginya, Amy mempunyai suara rock yang diinginkan dan dia mampu membawa lagu tersebut dengan penuh kejiwaan. 

“Asalnya kita dapat lagu tersebut dalam bentuk demo kita pun terkejut sebab lagu asal adalah nasyid, tetapi penerbit minta saya ubah. Mulanya agak sukar juga sebab nak ubah nasyid ke muzik rock tetapi ada elemen-elemen muzik tradisional dan kita cuba ubah dengan segala kretiviti yang ada, Alhamdulillah, kita dapat seorang penyanyi yang bagus dan hasilnya sangat positif.” Jelas Anep. 

Dalam perkembangan lain, single OST dan muzik video Pejuang Abata telahpun dilancarkan pada 11 Mei lalu di Pawagam Mini P.Ramlee, FINAS, Kuala Lumpur dan telah diterbitkan oleh Trilion Marketing Sdn. Bhd. Menurut Datuk Fairus, pelancaran ini adalah sebagai pengenalan untuk beliau menerbitkan filem Syahadan 2 selepas filem pertamanya Syahadan menemui jalan kegagalan.

“Sebelum ini filem Syahadan 1 tidak mempunyai lagu OST sendiri, dan apabila kita melihat komen-komen serta semangat gelombang selepas saya remaster semula Syahadan 1 di saluran Youtube, jadi kita mendapat jumlah tontonan melebihi 2 juta, dari situ hampir 95 peratus komen mahukan filem Syahadan 2.

“Jadi dari situ saya perlu lakukan sesuatu yang lebih serius, dan saya nak Syahadan 2 ini memberi persepsi atau dihidangkan dengan sesuatu yang baharu dan lebih baik dari sebelum ini.” Kata Fairus.

Terdahulu, Lagu Pejuang Abata yang asalnya tiada tajuk telah diberi kepada Fairus untuk dijadikan OST filem Syahadan 2. Dengan hati yang terbuka beliau menerima lagu tersebut setelah melihat lirik yang menyuntik semangat dan kerohanian. Menurutnya lagi, Abata yang diambil dari huruf jawi, Alif, Ba, Ta, yang bermaksud Agama, Bangsa dan Tanah air dipilih sebagai judul lagu tersebut.

“Saya berpuas hati dengan lagu OST yang dihasilkan oleh Alan dan Anep Monosterio ini. Saya beritahu mereka dalam silat ni, alat muzik serunai, seruling dan gendang wajib ada. Jadi mereka berfikir bagaimana untuk menggabungkan peralatan tradisional ini dengan alat muzik moden. Setelah beberapa kali perbincangan dan perubahan akhirnya apabila saya dengar terus lagu ini sampai ke hati, bila dah tusuk dalam kalbu ni, yang itu saya nak.” Ujarnya lagi.

Muzik video rasmi  Pejuang Abata telahpun ditayangkan kepada umum bermula semalam di saluran Youtube Arkian Studio, manakala single OST ini sudah berada di semua platfom digital rasmi mulai 11 Mei lalu. Asia Empire Records Malaysia turut bertindak sebagai syarikat rakaman serta pengedar rasmi diseluruh platfom digital. 

𝗣𝗘𝗝𝗨𝗔𝗡𝗚 𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔 – 𝗔𝗺𝘆 𝗭𝗮𝗸𝗿𝗶 (OST Filem Syahadan 2)