July 18, 2024

KUALA LUMPUR – Keberanian mengetengahkan isu dianggap berat berkaitan unsur khurafat yang ada dalam tradisi kuda kepang digalas Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menerbitkan telefilem terbaharu bertajuk “Lumping Putih” arahan Epo Jenon yang merupakan penerbit di Unit Drama TV RTM. 

Drama bertajuk Lumping Putih yang merujuk kepada kuda kepang putih ini ini disiarkan mengisi slot Panggung RTM sempena Maal Hijrah yang jatuh pada 7 Julai depan. Ia menjalani penggambaran di Muar dan Batu Pahat, Johor dalam menonjolkan realiti tarian tradisi masyarakat Johor terutama sekali orang Melayu berketurunan Jawa.

Gandingan pelakon berpengalaman dan baharu termasuklah Zaidi Omar, Azizah Mahzan, Soffi Jikan, Akmal Ahmad, Amalina Arham, Hazrat Muaz, Adam Ikmal, Ruzaidi Abd Rahman dan Asmidar sememangnya memperkuatkan plot cerita dalam telefilem ini.

Menemui penonton pada 6 Julai ini, pukul 10.00 malam di TV1 juga melalui penstriman RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my), usah ketinggalan menyaksikan Di Sebalik Tabir Lumping Putih, disiarkan pada hari dan saluran yang sama, pukul 3.30 petang.

Ia mengisahkan tentang keluarga yang merupakan penerus warisan tarian kuda kepang. Mim Lazim merupakan ayah kepada Alif Narbawi, Lam Nasyrah dan Mim Iqlab. Mim Lazim mahu menurunkan warisan kuda kepang kepada anak sulung Alif Narbawi, namun Mim Iqlab tidak setuju kerana ayahnya mahu mengekalkan kuda kepang tradisional yang ada ritual pembuka dan penutup. 

Pada masa sama wujud watak Megat yang merupakan orang kepercayaan Mim Lazim cuba untuk menagih janji menjadikannya pewaris penerus generasi kuda kepang kumpulan mereka. Namun apabila Mim Lazim mungkir janji, dia mula menyimpan dendam dalam diam.

Sementara itu, Mim Iqlab mahu memberi nafas baru dan tiada lagi ritual-ritual khurafat. Mim Lazim yang skeptikal tidak setuju apatah lagi Mim Iqlab seorang perempuan. Atas sebab konflik yang berlaku ini Mim Lazim jatuh sakit. Dapatkah Mim Lazim melihat kesungguhan Mim Iqlab dan terbuka menerima perubahan?