Antara Seoul dan Malaysia: TAEYANG pukau peminat dengan persembahan istimewa

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun, bintang K-pop terkenal TAEYANG kembali ke Malaysia dengan persembahan luar biasa menerusi jelajah solonya, TAEYANG 2024 TOUR [THE LIGHT YEAR]. Bertempat di Axiata Arena pada 7 Disember 2024, konsert itu bukan sahaja mencatat kejayaan dengan kehadiran penuh, tetapi juga menjadi malam penuh kenangan yang menyentuh hati peminat.

Sepanjang dua jam persembahan, TAEYANG memukau penonton dengan 28 lagu yang disusun rapi, merangkumi karya solo hit seperti Eyes, Nose, Lips dan VIBE serta lagu-lagu ikonik kumpulan BIGBANG, termasuk LOSER, BANG BANG BANG, dan FANTASTIC BABY. Peminat turut dibawa menyelusuri kenangan era kegemilangan BIGBANG, yang menjadikan malam itu penuh nostalgia.

TAEYANG mencuri hati peminat tempatan apabila menyampaikan versi khas lagu legenda Malaysia, Antara Anyer Dan Jakarta oleh Sheila Majid, dengan lirik yang diubah kepada Antara Seoul dan Malaysia. “Ini adalah kejutan istimewa untuk peminat di Malaysia,” katanya, yang disambut dengan sorakan gemuruh.

Selain persembahan muzik yang memukau, keperibadian TAEYANG yang mesra turut mencuri tumpuan. Sepanjang konsert, beliau menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris untuk berinteraksi dengan peminat. Ucapannya seperti “Sayang kau orang!” dan “You guys are hot!” mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton.

Salah satu momen yang paling menghiburkan berlaku semasa lagu penutup, apabila TAEYANG menerima patung mainan yang dilemparkan ke atas pentas oleh peminat. Dengan mesra, beliau mencium patung tersebut sebelum melemparkannya kembali ke arah penonton, mencetuskan gelombang keterujaan. Gelagat comelnya itu diteruskan apabila beliau berseloroh, “Kenapa ada begitu banyak teddy bear malam ini?”

Konsert yang penuh bertenaga itu turut menonjolkan sisi emosional TAEYANG, terutamanya semasa beliau mempersembahkan lagu SEED. Ketika itu, Axiata Arena berubah menjadi lautan cahaya apabila peminat mengangkat telefon bimbit dan lightstick, mencipta suasana penuh magis yang melambangkan kasih sayang dan sokongan tidak berbelah bahagi.

Karier solo TAEYANG yang bermula sebagai ahli pertama BIGBANG yang tampil secara solo terus bersinar hingga kini. Dengan kejayaan lagu seperti Eyes, Nose, Lips dan album Rise, serta kejayaan terkini lagu VIBE di carta Billboard, TAEYANG membuktikan dirinya sebagai ikon K-pop yang sentiasa relevan dan dicintai peminat.

Dalam ucapan penutup yang penuh emosi, TAEYANG mengucapkan terima kasih kepada peminat Malaysia atas sokongan mereka yang tidak pernah pudar. Beliau turut berjanji, “Saya pasti akan kembali ke Malaysia! Tolong tunggu saya!”, meninggalkan peminat dengan harapan bertemu lagi pada masa akan datang.

Konsert TAEYANG 2024 TOUR [THE LIGHT YEAR] di Malaysia telah mengukuhkan lagi kedudukan TAEYANG sebagai artis bertaraf dunia, sekaligus mencipta memori manis buat peminat yang hadir.