PETALING JAYA, 1 Jun 2025 – Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini sekali lagi membuktikan kelas tersendiri melalui konsert eksklusif bertajuk Antonim Night yang berlangsung penuh emosional dan intim di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama, malam tadi.
Dihadiri lebih 300 peminat setia, konsert bermula jam 9 malam itu menjadi platform istimewa buat Hael untuk membawa penonton menyelami perjalanan emosinya menerusi album Antonim serta memberi bayangan eksklusif terhadap kesinambungan album tersebut, Antonim Part II, yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan bertenaga oleh dua bakat muda — Anwar Amzah menerusi lagu Imaginasi dan Mariam yang tampil dengan medley lagu Hari Ini, Lara dan Bintang.
Tirai persembahan Hael dibuka dengan Overture diikuti deretan lagu daripada album Antonim seperti Hero, Kejora, Usia, Please dan Sama Seperti Dulu. Sorakan dan tepukan gemuruh terus bergema apabila Hael mempersembahkan beberapa lagu eksklusif daripada Antonim Part II seperti Hilang Tanpa Bilang serta beberapa medley menarik termasuk Anugerah Terindah, Putri Iklan, Jampi, Hajat, selain lagu hit Haram, Diam dan Kelentang-Kelentong.
Disusun indah di bawah arah muzik Sze Wan, keseluruhan persembahan berlangsung lancar dan menyentuh jiwa — bukan hanya kerana kekuatan vokal Hael tetapi juga penghayatan mendalam yang dipamerkan terhadap setiap karya.
Dalam sesi temuramah bersama media selepas konsert, Hael berkongsi rasa syukur dan terharu atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Saya sebenarnya agak terkejut dengan sambutan malam ini. Kehadiran semua penonton memberikan saya semangat baru untuk fasa seterusnya. Antonim Part II sepatutnya sudah dilancarkan, tapi saya pentingkan kualiti. Lagu-lagu yang dipersembahkan malam ini pun belum semuanya — masih ada banyak yang belum diperdengarkan,” ujarnya.
Menurut Hael, Antonim Part II berbeza daripada bahagian pertama kerana menampilkan sisi yang lebih merayakan kasih sayang dan kebahagiaan berbanding kekecewaan dan emosi berat yang dizahirkan dalam Antonim Part I.
“Kali ini saya bawakan lagu yang lebih spesifik — ada tentang cinta jarak jauh, hari perkahwinan, kegembiraan keluarga. Lagu seperti ‘Peluk’ dan ‘Kahwin’ saya cipta untuk meraikan pelbagai fasa hidup pendengar,” tambahnya.
Hael turut mengakui bahawa meskipun tidak memiliki peminat dalam jumlah besar, namun penyokong setianya kekal bersama sejak awal kerjaya.
“Apa yang saya ada malam ini adalah bukti cinta dan sokongan yang tidak pernah putus. Saya sangat menghargai setiap seorang daripada mereka.”
Ketika ditanya mengenai kolaborasi akan datang, Hael tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan bakat baharu tempatan, termasuk penyanyi seperti Nadeera.
“Saya terbuka dengan mana-mana bakat baharu. Insya-Allah, bila syarikat saya siap nanti, saya akan jemput semua untuk kolaborasi dan sesi rakaman,” jelasnya.
Konsert Antonim Night dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan MASK Team dengan sokongan rakan penaja seperti Virus Ungu, Rocketfuel, M World Hotel (Hotel Rasmi), dan Astro Gempak selaku media digital rasmi. Konsert ini bukan sahaja menjadi pentas ekspresi seni buat Hael, tetapi turut menjadi ruang peribadi untuk berkongsi cerita hidup yang terakam indah dalam setiap lagu ciptaannya.